NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sentimen terhadap ‘katak’ mengaburi kualiti calon

Azmin Ali dan Amirudin Shari berdepan saingan lima penjuru dengan Megat Zulkarnain Omardin (BN), Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Putra) dan Zulkifli Ahmad (bebas) di Parlimen Gombak.

PETALING JAYA: Baik Azmin Ali mahupun Amirudin Shari mungkin perlu ambil berat bahawa kualiti peribadi masing-masing sebagai ahli politik mungkin tidak besar maknanya bagi sesetengah pengundi Gombak, berdasarkan temubual dengan beberapa penduduk.

Beberapa pengundi akui tidak berpuas hati dengan Azmin kerana bertukar parti, selepas memenangi Parlimen Gombak sebagai calon PKR. Beliau kini bertanding atas tiket Perikatan Nasional.

Dalam masa sama, mereka akui tidak begitu kenal Amirudin, jaguh pilihan PH untuk merampas kerusi itu daripada Azmin, yang mempertahankan Gombak pada PRU 2008 (majoriti 6,867 undi), 2013 (4,734), dan 2018 (48,721 undi). Amirudin juga menteri besar Selangor.

PRU15 merupakan penampilan pertama Amirudin dalam perebutan kerusi Parlimen. Di Gombak, Amirudin jaguh di DUN Sungai Tua (dahulu dikenali sebagai DUN Batu Caves), dan mempertahankan kerusi itu pada PRU 2008 (3,639), 2013 (3,261), dan 2018 (11,374).

“Sungguhpun saya tidak begitu kenal dia (Amirudin), tapi saya tengok imejnya lebih peramah dan mesra. Apa yang boleh saya kata, saya pasti tak akan mengundi Azmin lagi,” kata seorang pengundi, Teh Bee Woon, 75.

“Saya akan pertimbang undi PH, sungguhpun kurang tahu tentang calon parti itu, Amirudin. Saya pilih ini sebab saya percaya dengan pimpinan PH,” kata seorang peniaga, Yap Wei Xuan, 20.

Seorang peniaga berketurunan Melayu, yang hanya mahu dikenali sebagai Hozo, 21, masih belum buat keputusan antara Azmin atau Amirudin.

“Masih ragu-ragu lagi nak mengundi ke tidak. Saya pernah jumpa Azmin. Dia baik tapi selepas jadi menteri terus macam tak nampak. Sebelum ni dia dengar isu rakyat.”

Di atas kertas, Azmin dilihat mempunyai kelebihan berbanding Amirudin memandangkan beliau disokong akar umbi PAS yang kemungkinan besar akan terus menyokong pada PRU15.

Namun, Ketua Kampung Laksamana, Roszaidi Ishak, 50, memberitahu FMT sambutan kepada acara PN di Sungai Tua tidak sehangat diharapkan, meskipun majoriti penduduk di situ dikatakan penyokong PAS.

“Kempen-kempen PN yang diadakan di kawasan itu dilihat kurang sambutan.”

Penganalisis politik, Salawati Mat Basir daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, percaya kemenangan Azmin pada PRU lepas bukan kerana personaliti tetapi parti yang diwakili.

Persepsi dan maklumat daripada media sosial akan mendorong pilihan pengundi, tambahnya.

“Apabila kita (pengundi) mengundi calon tersebut (adalah) kerana kita mahu dia daripada parti yang kita percaya boleh membawa kemakmuran dan juga memberi yang terbaik kepada Malaysia. Jadi bila dia mengkhianati, ramai akan beranggapan ianya satu penipuan.

“Anak-anak muda sekarang juga tak mahu ‘katak politik’. Mereka mahu orang yang komited serta mampu membawa pembaharuan kepada negara,” katanya.

Turut perlu diperhatikan sama ada keputusan kerajaan Selangor meluluskan penyahwartaan 536.7 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara tahun lalu untuk pembangunan akan mempengaruhi pengundi Orang Asli, biarpun pelan pembangunan telah dihentikan dan kawasan itu diwartakan semula.

Azmin dan Amirudin berdepan saingan lima penjuru dengan Megat Zulkarnain Omardin (Barisan Nasional), Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Putra), dan Zulkifli Ahmad (bebas).

Pengundi di Parlimen Gombak mencecah 206,000 pengundi, berbanding 140,000 orang empat tahun lepas, dengan tambahan hampir 70,000 pengundi baharu.


Sumber I FMT Malaysia 





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo