NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Saya ditinggal begitu saja’, KJ tepis dakwaan Zahid berkait kerusi Sungai Buloh

Khairy Jamaluddin adalah Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menepis dakwaan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau meminta untuk bertanding di kerusi Sungai Buloh pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dengan mengatakan dia “tiada pilihan”.

Khairy berkata, beliau menunggu isyarat daripada pucuk pimpinan parti mengenai di mana akan bertanding, namun tidak mendengar apa-apa daripada mereka, justeru beliau memutuskan mengambil inisiatif sendiri.

“Saya ditinggal begitu saja. Saya tahu kena keluar dari kawasan Rembau jadi pada waktu itu saya tiada pilihan, saya ambil inisiatif sendiri.

“Jadi, saya mengambil inisiatif untuk (berjumpa) dengan Noh Omar (pengerusi BN Selangor) dan Vicky (Presiden MIC SA Vigneswaran).

“Tiada banyak kerusi (Parlimen), hanya dua tiga yang tinggal ketika itu. Jadi saya kata, tak apalah saya pilih Sungai Buloh. Bukannya dari awal saya pilih (untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh),” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, Noh telah menasihatinya untuk bertanding di Selangor jika tiada kerusi lain lagi.

Kata Khairy lagi, beliau menemui Vigneswaran memandangkan Sungai Buloh sebelum ini pernah ditandingi oleh MIC pada pilihan raya umum lalu.

Terdahulu, Berita Harian memetik Zahid sebagai berkata, tiada siapa yang memaksa Khairy bertanding di kerusi Parlimen disandang PKR sejak 2008, yang dikenali sebagai Subang.

“KJ yang minta diberikan peluang bertanding di sana dan saya tunaikan permintaannya,” katanya.

Khairy, yang menjadi Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal sejak 2008, berkata pada September bahawa beliau diminta tidak mempertahankan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, yang mahukan peranan dalam politik peringkat persekutuan.

Beliau kemudian dikaitkan dengan kerusi Port Dickson, Seremban, Tampin, dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan dan Alor Setar di Kedah.

Khairy menyifatkan perpindahan ke Sungai Buloh sebagai perjuangan paling sukar dalam karier politiknya.

Pada PRU15, Khairy akan ditentang R Ramanan daripada Pakatan Harapan, Ghazali Hamin (Perikatan Nasional) Akmal Yusoff (Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua lagi calon bebas.


Sumber I FMT Malaysia 



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo