NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saya dibayar RM25,000 tiap bulan jadi penasihat 1MDB, kata Irwan

Irwan Serigar Abdullah berkata sejak dilantik menjadi ahli lembaga penasihat 1MDB, beliau tidak pernah dipanggil atau menerima jemputan untuk menghadiri mesyuaratnya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Bekas ketua setiausaha Perbendaharaan (KSP), Irwan Serigar Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau menerima bayaran berjumlah RM521,774 daripada 1MDB menerusi dua cek pada 2013 dan 2016.

Irwan, 65, berkata beliau yang dilantik ahli lembaga penasihat (BOA) 1MDB oleh Najib Razak yang ketika itu perdana menteri, menerima bayaran RM221,774 dan RM300,000, masing-masing pada 2013 dan 2016.

“Saya dimaklumkan bayaran (RM221,774) adalah bayaran tertunggak kepada saya selaku ahli lembaga pengarah 1MDB sejak saya memegang jawatan KSP pada Ogos 2012 hingga Ogos 2013. Saya tidak meminta elaun bayaran ini dibuat, malah bayaran ini dibuat oleh 1MDB kepada saya melalui cek 1MDB.

“Manakala tempoh pembayaran elaun (RM300,000) yang saya terima adalah 2013 sehingga 2016, iaitu sehingga BOA dimansuhkan Najib sendiri, selepas siasatan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap 1MDB,” kata saksi pendakwaan ke-42 itu ketika membacakan pernyataan saksinya dalam perbicaraan Najib bagi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB.

Selain dua pembayaran itu, Irwan berkata, beliau menerima elaun BOA sebanyak RM25,000 daripada 1MDB setiap bulan secara konsisten bermula 26 Ogos 2013 sehingga 2015.

Menurutnya, selepas BOA dimansuhkan, beliau menerima elaun pengerusi 1MDB sebanyak RM25,000 secara bulanan dan sejak dilantik menjadi ahli BOA, beliau tidak pernah dipanggil atau menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat BOA 1MDB.

“Walaupun pengerusi BOA adalah Najib merangkap menteri kewangan, beliau sendiri tidak pernah memaklumkan saya tentang apa-apa mesyuarat berkenaan BOA 1MDB. Saya pernah bertanya Ali Hamsa (ketua setiausaha negara) ketika itu mengenai mesyuarat BOA 1MDB, namun jawapan KSN kepada saya, beliau juga tidak tahu dan tidak dipanggil dalam apa-apa mesyuarat berkaitan BOA 1MDB sejak beliau dilantik.

“Jadi, selepas itu saya juga tidak pernah tanya KSN atau Najib lagi,” katanya sambil menambah beliau tidak pernah terlibat dalam membuat apa-apa keputusan dari segi perjalanan syarikat mahupun pelaburan 1MDB.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram sama ada beliau menghadiri mesyuarat BOA, saksi itu menjawab: “Tidak…walaupun mesyuarat BOA tidak dipanggil, tetapi secara tidak rasmi ada (mesyuarat). Saya adalah KSP dan 1MDB berkait Kementerian Kewangan, secara tidak rasmi nasihat diberi atau kadang-kadang Najib bertanya kepada saya…kadang-kadang Najib ada keputusan sendiri.”

Mengenai ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, Irwan mengesahkan sepanjang berkhidmat sebagai KSP di Kementerian Kewangan dan kemudian dilantik sebagai pengerusi 1MDB, beliau sama sekali tidak pernah berkomunikasi atau menemui Jho Low.

“Saya tahu isu berkenaan Jho Low yang dikaitkan dengan 1MDB, pertamanya dalam sesi soal jawab dengan PAC pada 2015, kemudian berdasarkan laporan media yang tersebar,” katanya.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.


Sumber I FMT Malaysia 



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo