NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sanusi dakwa 18 Ahli Parlimen BN sokong Muhyiddin jadi PM


PETALING JAYA:
Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Md Nor mendakwa sekurang-kurangnya 18 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyatakan kesediaan menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Lebih menarik, menteri besar Kedah itu juga mendakwa Muhyiddin akan “mengangkat sumpah” pada 4 petang, hari ini, selepas senarai Ahli Parlimen menyokong pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dihantar ke Istana Negara.

“Saya harap semua pakat berdoa semoga senarai nama yang perlu dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum 2 petang, dapat diserahkan dan selepas itu, majlis angkat sumpah perdana menteri daripada PN insya-Allah akan berlaku pukul 4 petang.

“Doakan supaya semua ini berjalan dengan sempurna seperti diharapkan untuk kita bawa negara ini menjadi prihatin, bersih dan stabil,” lapor Utusan Malaysia.

Sanusi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran PN Kedah di Kompleks PAS Kedah, malam tadi.

Terdahulu dalam ucapannya, Sanusi berharap ahli serta pimpinan Umno membuat desakan terhadap presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak meneruskan hasrat membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, perkara itu perlu ditentang oleh ahli Umno sendiri ketika Zahid dilihat cuba mengheret kesemua 30 ahli Parlimen BN agar bersama PH bagi menjadikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Ahmad Zahid sedang mengheret Umno untuk melanggar ketetapan perhimpunan agung Umno (PAU) iaitu ‘No Anwar, No DAP’. Bahaya melibatkan Anwar, DAP dan fahaman-fahaman dikendong perjuangan mereka sudah disebut banyak kali sebelum ini.

“Jadi kalau ahli-ahli Umno terus merestui tindakan presiden mereka untuk memaksa ahli Parlimen BN menubuhkan kerajaan bersama PH, maknanya mereka akan jadi pengkhianat terbesar dalam sejarah umat Islam di negara ini,” katanya.

Sanusi berkata, Ahli Parlimen BN tidak perlu melompat untuk menyokong Muhyiddin menjadi perdana menteri.

“Kalau mereka dipecat pun, jawatan sebagai Ahli Parlimen tak akan hilang kerana mereka bukannya melompat ke parti lain,” katanya.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo