NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

"Salahkan individu yang ambil rasuah, bukan parti" - Ismail Sabri Sindir Zahid?


KUALA LUMPUR:
Jangan menghukum sesebuah parti politik apabila skandal rasuah melibatkan seseorang pemimpin, sebaliknya, yang wajar dipersalahkan adalah pelakunya, tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, parti politik tidak seharusnya diheret dalam isu makan suap itu.

Bahkan, tegas Ismail Sabri, adalah tidak adil untuk orang ramai melabel UMNO khususnya sebagai parti rasuah.

“Daripada segi calon, saya sudah terangkan. Daripada segi pemimpin yang rasuah dan sebagainya, ia tidak melibatkan parti. Ia melibatkan individu.

“Individu yang ada kes diambil tindakan dan tindakan tersebut dikenakan terhadap individu tersebut. Ianya tidak mengatakan parti UMNO itu rasuah,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian sebagai menjawab keresahan rakyat mengenai masalah rasuah yang berleluasa dalam kalangan pemimpin politik ketika diwawancara dalam program Bual Bicara Khas Bersama Perdana Menteri: Kestabilan & Kemakmuran, yang disiarkan malam ini.

Dalam masa sama, Ismail Sabri menyedari, kenyataannya ini mungkin akan dijadikan isu oleh pihak pembangkang.

Bagaimanapun, sebagai orang berpengalaman dalam gelanggang politik, Ismail Sabri tidak terlalu bimbang dengan pandangan pembangkan kerana UMNO memiliki kekuatan dari segi keahlian.

UMNO iaitu sebuah parti Melayu terbesar di negara ini, kata penyandang kerusi Parlimen Bera itu memiliki tiga juta ahli.

“Kalau dua atau tiga orang yang terlibat sahaja, tidak bolehlah tiga juta ahli ini dikatakan rasuah juga. Jadi disebabkan itu, saya rasa yang terlibat itu kalau ada, mereka terpaksa melalui proses perundangan secara bersendirian tanpa melibatkan parti,” katanya.

Mengulas tindakan yang diambil ke atas pemimpin termasuk dari UMNO sendiri, Ismail Sabri berkata, kerajaan pimpinan beliau tidak campur tangan dalam urusan mahkamah termasuk urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mereka (pihak berkuasa) bebas menyiasat sesiapa sahaja dan tidak ada campur tangan daripada kerajaan bila (pesalah) dihadapkan ke mahkamah.

“Mereka perlu menghadapi mahkamah secara bersendirian dan tidak boleh heret parti bersama dalam isu berkaitan,” katanya.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo