NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU15 : Satu analisa untuk negeri Pahang Darul Makmur


Pahang Darul Makmur

Apabila Parlimen dibubarkan, Negeri Pahang antara terawal mengikut jejak Kerajaan Pusat untuk membubarkan DUN. Negeri terbesar dalam Semenanjung Malaysia ini akan menjadi battle ground sebenar apabila BN dan PAS mempunyai kekuatan yang hampir seimbang. Risiko yang diambil oleh YAB Dato Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah sangat tinggi. Selepas menjadi antara Negeri BN yang selamat selepas PRU14, kini Pahang menjadi Negeri tumpuan semua gabungan yang bertanding dalam PRU15. 

Pada PRU14, BN berjaya mendapat undi popular 41%, manakala PH memperolehi 29% dan PAS 30%. Ini bermakna pengundi yang menolak BN adalah 59%. Pada PRU15 beberapa faktor akan menentukan keputusan PRU15. Antaranya adalah kehilangan sokongan pengundi muda oleh BN, pengundi PH yang sudah bosan dengan kegagalan mereka dan penambahan sokongan oleh PN melalui undi Bersatu dan undi anak muda. Selain itu, tindakan PN menamakan Timbalan Presiden PAS, Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bekas Menteri Alam Sekitar yang merupakan anak jati Pahang sebagai bakal Menteri Besar sekiranya PN menang adalah satu strategi yang sangat memberi kesan. Selain itu, tindakan Dato Sri Ismail Hj Mutalib bekas Ahli Parlimen Maran menyertai PN juga meningkatkan sokongan kepada PN di Negeri Pahang. 
Dengan beberapa faktor yang saya nyatakan diatas, dijangka BN akan mencatat hanya 36%, PH akan mencatat 26% dan PN akan mencatat 38% sekaligus akan menjadikan kekuatan PN mengatasi BN. Selain itu, kegagalan PH untuk menjadi suara anti-BN di Negeri Pahang juga telah mula memberi kesedaran kepada pengundi PH dan dijangka akan membawa kepada perubahan sokongan dari PH ke PN. Sekiranya perubahan ini berlaku, akan mengukuhkan lagi sokongan kepada PN. Satu lagi kerusi menarik untuk diperhatikan adalah kerusi Kemahang yang menyaksikan calon PH dibatalkan pencalonannya. Senario sama pernah berlaku pada PRU14 apabila calon PAS di DUN Penaga menang dalam pertandingan 2 penjuru selepas calon PH ditolak pencalonannya. Persoalannya apakah pengundi PH akan memberikan sokongan penuh kepada calon PN di DUN Kemahang? Dijangkakan dengan apa yang berlaku di Negeri Pahang ini, selepas PRU15 nanti PN akan mendapat jumlah kerusi DUN tertinggi. 

Senario dikerusi Parlimen juga tidak kurang menarik. Beberapa Parlimen dijangka akan menyaksikan pertandingan sengit. Kerusi P081 Jerantut calon PN YB Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dijangka akan merampas Parlimen Jerantut. Jika dilihat keputusan PRU14, PAS telah memenang 2 daripada 3 DUN. Malah undi popular PAS diperingkat DUN adalah 21,941, BN 18,410 dan PH 9,906. Namun diperingkat Parlimen Calon BN mendapat 22,640, PAS mendapat 16,732 dan PH mendapat 10,877. Ini kerana bekas Ahli Parlimen BN Dato Ahmad Nazlan amat disenangi oleh pengundi Jerantut. Namun senario ini bakal berubah apabila Dato Ahmad Nazlan tidak mempertahankan kerusi tersebut dan menyerahkan kepada Setiausaha Bahagian Dato Zukarmi Abu Bakar. Selain itu, Naib Ketua Bahagian Dato Rizuan Mansor yang tidak terpilih menjadi calon akan bertanding bebas di Dun Pulau Tawar yang mempunyai kekuatan keluarga besarnya disitu. 

Kerusi P086 Maran juga mempunyai jalan cerita hampir sama. PAS menang 2 daripada 3 DUN namun tewas diperingkat Parlimen kepada Dato Sri Ismail Abd Mutalib. Bekas Timbalan Menteri itu memenangi Parlimen Maran selama 4 penggal termasuk pada 2018 sewaktu tsunami penolakan BN. Tindakan beliau memilih untuk menyertai PN akan memberi kemenangan kepada PN di Parlimen Maran.

Kerusi Parlimen Kuala Krau P087 yang ditandingi oleh calon PN Ustaz Kamal Ashaari yang merupakan tokoh pendidikan tempatan dijangka akan memberi tentangan sengit kepada calon BN Dato Sri Ismail Mohamed Said. BN memenangi kerusi Parlimen ini pada PRU14 dengan majoriti 2,876 sahaja. Menarik apabila jika dikaji keputusan PRU14 mengikut peti undi, PAS mencatatkan peningkatan drastik disemua peti undi Felda. Perkembangan penolakkan calon BN dikerusi Felda ini dijangka akan merebak ke peti undi lain dan akan memberi kemenangan kepada calon PN. 

Nurul Islam Mohamed Yusoff 
Leicester, United Kingdom

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo