NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU15: Penamaan calon Parlimen Padang Serai, DUN Tioman esok


PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan semua calon yang telah sah dinamakan pada 5 November lalu untuk bertanding di Parlimen Padang Serai, Kedah, serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang, dikehendaki turut hadir ke pusat penamaan calon (PPC) bagi kerusi masing-masing, esok.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata mereka dikehendaki hadir antara jam 9 hingga 10 pagi untuk cabutan undi menentukan susunan nama pada kertas undi kedua-dua kerusi terbabit sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain itu, katanya, bakal calon ingin bertanding boleh menyerahkan kertas penamaan dari jam 9 hingga 10 pagi esok kepada Pegawai Pengurus di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech bagi kerusi Parlimen Padang Serai, dan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, untuk DUN Tioman.

Beliau berkata, kertas penamaan calon berkenaan boleh diserahkan oleh calon, pencadang dan penyokong; atau mana-mana dua daripadanya; atau mana-mana seorang daripada mereka.

"Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal calon yang ingin bertanding di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman pada PRU15, supaya mengisi borang serta membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan sebelum hari penamaan calon," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seterusnya, Ikmalrudin berkata, bakal calon turut disarankan membuat pembayaran deposit lebih awal dan membawa resitnya pada hari penamaan calon, esok, sebagai bukti pembayaran bagi memastikan semua proses berkenaan dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

Selain itu, beliau berkata, bakal calon baharu yang mewakili mana-mana parti politik, perlu mengemukakan surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti diwakili, ketika menyerahkan kertas penamaan calon.

"Pada hari penamaan calon, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC.

"Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara, termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan, tidak dibenarkan pada hari penamaan calon, dan ia adalah kesalahan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Pada masa sama, Ikmalrudin mengingatkan orang awam serta penyokong yang mengiringi calon bahawa mereka dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang ditetapkan.

Justeru, beliau berkata, semua calon dan parti politik yang terbabit pilihan raya itu diharap akan sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika serta arahan dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada hari penamaan calon.

Sebelum ini, proses pengundian di kedua-dua Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman ditangguhkan apabila calon yang bertanding kerusi berkenaan meninggal dunia.

Calon Pakatan Harapan (PH) di Padang Serai, M Karupaiya yang juga penyandang kerusi itu, meninggal dunia pada 16 November lalu di Hospital Kulim, dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan, manakala calon Perikatan Nasional (PN) di DUN Tioman, Md Yunus Ramli, 61, disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin kira-kira jam 3.30 pagi hari pengundian.

Pada PRU15, Karupaiya sepatutnya bertanding dalam pertembungan enam penjuru membabitkan Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Datuk Sivaraj Chandran (Barisan Nasional/BN), Datuk Azman Nasrudin (PN), Mohd Bakhri Hashim (WARISAN) dan Ananda Ak (Bebas) di kerusi Parlimen Padang Serai.

Bagi kerusi DUN Tioman, Md Yunus pula sepatutnya menghadapi saingan lima penjuru yang turut membabitkan calon daripada BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Osman A Bakar (PEJUANG) serta Sulaiman Bakar (Bebas).




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo