NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Presiden MIC turut digesa letak jawatan


JOHOR BAHRU:
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran turut gesa meletak jawatan susulan prestasi parti itu bersama gabungan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan MIC Johor, S Deva, berkata prestasi parti itu mungkin tidak merosot dengan mendadak sekiranya suara di peringkat akar umbi diberi perhatian sebelum PRU15.

Katanya, sebelum pilihan raya lagi pihaknya sudah membuat ramalan bahawa pengundi akan beralih sokongan kepada parti gabungan lain sekiranya tiada perubahan dilakukan.

Sehubungan itu katanya, Vigneswaran harus meletakkan jawatan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Sebelum PRU15, saya secara konsisten mengatakan bahawa perlu mengambil pengajaran yang diperoleh daripada PRU14, tetapi ia tidak dipedulikan.

"BN juga gagal mendengar penyokong dan pemimpin akar umbinya untuk memilih pemimpin yang dikehendaki ramai.

"Sebagai balasan, orang ramai menghantar mesej yang kuat untuk menunjukkan betapa mereka kecewa dengan keputusan yang dibuat dan nasi sudah menjadi bubur," katanya.

Deva berkata, berbanding calon tempatan yang boleh dipercayai, parti berkenaan juga membuat keputusan kurang memberangsangkan apabila meletakkan calon dari negeri lain seperti Perak dan Kuala Lumpur.

"Pada masa sama, ahli politik seperti Datuk Seri Dr Adham Baba dan Datuk Halimah Mohamed Sadique yang berkhidmat dengan baik di kawasan mereka digugurkan daripada senarai calon.

"Tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan akar umbi, mereka memutuskan untuk meletakkan calon dari negeri lain yang diminati kepimpinan parti.

"Malah, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang sebelum ini berkata tidak mahu bertanding turut didesak untuk bertanding bagi menawan semula kerusi Parlimen Pulai sedangkan ada calon tempatan lain yang boleh bertanding di kerusi itu," katanya.

Deva berkata, beliau menggesa BN untuk mengorak langkah ke depan dengan membuat perubahan drastik daripada pengajaran yang diperoleh daripada dua PRU lalu.

"Saya yakin ramai yang sayang BN, namun apa yang mereka mahu adalah perubahan termasuk dari barisan kepimpinan," katanya.

Setakat ini ramai pemimpin dan akar umbi parti itu menggesa Ahmad Zahid meletakkan jawatan serta-merta susulan prestasi buruk BN dalam PRU15.






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo