NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN yakin menang di Tasek Gelugor, namun enggan berasa selesa

PERIKATAN Nasional (PN) yakin dapat memenangi kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun enggan terus berasa selesa.

Calonnya yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keyakinan itu berdasarkan kajian sikap yang dilaksanakan jentera parti PN sejak tiga minggu lalu di Tasek Gelugor yang menunjukkan peningkatan peratusan positif terhadap PN berbanding parti-parti lain yang bertanding.

Jelasnya, meskipun tidak dapat berkongsi hasil kajian itu dengan lebih terperinci kerana melibatkan strategi parti, namun ini merupakan perkembangan yang baik buat PN sekali gus diharapkan dapat diterjemahkan ke peti undi pada Sabtu ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Wan Saiful berkata, hasil kajian itu juga mendapati sokongan pengundi Tasek Gelugor terhadap PN tersebut disebabkan keinginan rakyat untuk melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali menjadi Perdana Menteri.

“Ini juga bertepatan dengan banyak kajian lain di seluruh negara yang mana mendapati Muhyiddin adalah calon Perdana Menteri paling popular,” katanya dalam sidang akhbar di bilik gerakan PN Tasek Gelugor, hari ini.

Menurut Wan Saiful, sokongan kepada PN itu juga disebabkan rakyat menolak sebarang usaha kerjasama antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menguasai Putrajaya.

“Ada dakwaan bahawa Anwar dan Zahid pernah berbincang beberapa kali untuk menubuhkan kerajaan dan ini memberi kesan kepada pengundi di Tasek Gelugor yang tidak mahu BN membawa PH naik ke Putrajaya,” katanya.

Selain itu tambah beliau, pengundi di Tasek Gelugor juga menolak taktik kotor UMNO dan BN ketika berkempen yang menyerang beliau secara peribadi dalam beberapa hal yang tidak berasas.

“Sebaliknya, pengundi lebih selesa dengan strategi PN kerana PN adalah satu-satunya gabungan yang stabil di Tasek Gelugor.

“Mereka lebih selesa dengan strategi kempen yang positif berbanding strategi serangan peribadi yang digunakan oleh UMNO,” katanya.

Wan Saiful bertanding merebut Kerusi Parlimen Tasek Gelugor itu dalam persaingan lima penjuru dengan empat lagi calon iaitu Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor (BN); Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan (PH); Mohamad Akmal Azhar (Warisan) dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang).




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo