NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN calon Rosol Wahid pertahan Hulu Terengganu


PETALING JAYA
: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Rosol Wahid daripada Bersatu dicalonkan semula bagi mempertahankan Parlimen Hulu Terengganu sekali gus menyaksikan pertembungan anak didiknya, Rozi Mamat daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengumuman itu dibuat Pengerusi PN Muhyiddin Yassin ketika berucap pada jelajah prihatin dan pelancaran jentera PN PRU15 di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, malam tadi.

Rosol kali pertama bertanding di Parlimen itu pada PRU 2018 atas tiket Barisan Nasional (BN), menang dengan majoriti 2,868 undi dalam pertembungan tiga penjuru. Beliau meraih 30,925 undi, meninggalkan calon PAS,
Muhyidin Abdul Rashid, 28,057 undi dan Razali Idris dari Bersatu mendapat 3,364 undi.

Ia juga menyaksikan timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna itu menjadi calon tunggal Bersatu di Terengganu, lapor Harian Metro.

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen, tujuh daripadanya ditandingi PAS manakala Bersatu, satu kerusi.

Pada PRU lalu, PAS menang enam kerusi Parlimen iaitu Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman manakala BN mendapat Besut dan Hulu Terengganu. Bagaimanapun, BN hanya tinggal kerusi Besut menerusi penyandang Idris Jusoh selepas Rosol keluar menyertai Bersatu.

PN Terengganu akan mengumumkan calon yang bertanding di lapan kerusi Parlimen pada majlis pengisytiharan calon PAS Terengganu PRU15 di Dewan Tok Guru Rusila Marang, malam ini.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu meminta semua jentera PN mengambil satu daya usaha yang agak berat untuk menyedarkan orang Melayu dan ahli Umno untuk membuat pilihan tepat pada PRU15.

Katanya, ia adalah satu jihad yang perlu diteruskan untuk memberikan kefahaman yang betul supaya rakyat tidak membuat keputusan yang salah, menyokong BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Saya cukup takut kalau lepas pilihan raya kita berdepan situasi yang tak boleh nak kata apa tetapi kalau nasi sudah menjadi bubur kita nak buat macam mana, jadi sebab itu, pilihan raya ini ialah untuk menyelamatkan negara kita.

“(Ia bagi memastikan) negara kita ini jangan menjadi sebuah negara yang sudah begitu rosak dan tak boleh dibetulkan lagi dan jatuh ke dalam satu gaung yang cukup dalam yang tak boleh diselamatkan.

“(Jadi) sekarang masih ada waktu untuk kita selamatkan dan jika nak selamat, tidak lain tidak bukan kita menyeru kepada semua pengundi menyokong PN,” katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo