NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH kerajaan ‘tunggang’ kerana 'tunggang' istilah Kerajaan Perpaduan


KERAJAAN Perpaduan

Kerajaan Perpaduan (Unity Government) merupakan sebuah kerajaan yang terdiri daripada semua parti politik. Semua parti, sama ada sebelum ini menjadi kerajaan ataupun pembangkang, akan digabungkan dalam satu kapal. Dalam hal ini, blok pembangkang tidak akan wujud. Bagi memudahkan lagi kefahaman, kita letakkan dua syarat bagi membentuk Kerajaan Perpaduan iaitu:

1. Semua parti politik perlu bergabung dan berada dalam satu tingkatan yang sama bagi membentuk sebuah kerajaan.

2. Tiada Pembangkang.

Sekiranya kita meneliti sejarah tanah air, Malaysia sebenarnya belum lagi mempunyai sejarah membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Jadi, tiada contoh yang boleh dirujuk bagi memperjelas bagaimanakah bentuk Kerajaan Perpaduan dalam konteks Persekutuan Malaysia. 

Namun pada 2009, cadangan Kerajaan Perpaduan pernah diutarakan oleh Presiden PAS agar dibentuk Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) yang pada masa tersebut dipimpin oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

Cadangan Kerajaan Perpaduan ini mengambil model yang sama dengan Kerajaan Perpaduan Indonesia semasa pentadbiran mantan Presiden Indonesia iaitu B.J. Habibie. Model Kerajaan Perpaduan ini berteraskan kepada kerajaan tanpa pembangkang. 

Satu contoh yang boleh dilihat di peringkat negeri iaitu pasca pembentukan Kerajaan PERIKATAN NASIONAL pada 2020 di peringkat Persekutuan. Kelantan menukarkan model kerajaannya daripada Kerajaan Majoriti yang menjadi kebiasaan kepada kerajaan tanpa pembangkang. Ini juga boleh kita namakan sebagai Kerajaan Perpaduan.

Kerajaan Campuran

Berbeza pula dengan Kerajaan Campuran (Coalition @ Grand Coalition Government). Kerajaan Campuran pula ialah kerajaan hasil daripada gabungan beberapa parti sahaja dalam membentuk kerajaan. Pada masa ini, parti yang tidak menjadi kerajaan akan menjadi pembangkang.

Sebagai contoh, kerajaan yang dibentuk pada tahun 1971 dahulu iaitu selepas pengisytiharan Darurat akibat insiden 13 Mei 1969. Pada masa ini, kerajaan dibentuk yang dipimpin oleh Tun Haji Abdul Razak Dato’ Hussien merupakan Kerajaan Campuran antara PERIKATAN dan PAS. Manakala parti lain seperti DAP dan Gerakan (sebelum tahun 1973), mereka menjadi pembangkang.

Sama juga keadaannya pada 2020. Rejim Pakatan Harapan (PH) telah tumbang sebaik sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatannya dan yang mengisinya ialah Kerajaan Campuran antara PAS, BN dan BERSATU. PH pada ketika ini, merupakan pembangkang yang menjadi semak imbang kepada kerajaan semasa.

Kerajaan pasca PRU ke-15

Melihat kepada apa yang dibincangkan, adalah tidak tepat sekiranya kerajaan yang dibentuk pasca PRU ke-15 ini merupakan Kerajaan Perpaduan kerajaan syarat bagi perpaduan itu tidak dipenuhi. PERIKATAN NASIONAL jelas menyatakan hasratnya bahawa akan terus menjadi pembangkang selaku semak imbang kepada kerajaan semasa. Maka, di manakah model perpaduannya? Terma tepat yang patut digunakan ialah Kerajaan Campuran sepertimana yang berlaku pada tahun 1971 dan 2020. 

Penggunaan terma ‘Kerajaan Perpaduan tanpa PERIKATAN NASIONAL’ oleh Pakatan Harapan ini juga bukan merupakan satu konotasi yang betul. Kita andaikan seperti ini. Kita ingin makan roti canai telur, tanpa telur. Soalan cepu emasnya ialah, adakah itu roti canai telur ataupun roti canai biasa?

Sama juga dengan Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Campuran. Kerajaan Perpaduan, perlu kepada ketiadaan pembangkang. Sekiranya ada pembangkang, nama dia Kerajaan Campuran. Jadi, bagaimanakah boleh keluar istilah ‘Kerajaan Perpaduan tanpa PERIKATAN NASIONAL’ sedangkan syarat asas pun tidak dipenuhi?

Jadi, saranan kepada semua yang menunggang perkataan ‘Kerajaan Perpaduan’ agar tidak lagi mengabur mata dan memeningkan masyarakat dengan penggunaan terma yang tidak tepat seperti ini. Apa salahnya sekiranya kita kata kerajaan semasa ini merupakan Kerajaan Campuran PH dan BN? Bukankah ini lebih tepat dan benar?

DZAFIR FIRDAUS
Sejahtera Research Group – HARAKAHDAILY 28/11/2022








........
Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo