NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengundian kerusi Padang Serai tak perlu ditangguh - Azalina


Ketua biro undang-undang BN Azalina Othman Said berkata pengundian bagi kerusi parlimen Padang Serai wajar diteruskan pada 19 Nov ini.

Bekas menteri undang-undang itu berkata demikian susulan timbul ketidakpastian berhubung sama ada pengundian di parlimen itu perlu diteruskan atau tidak, susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) M Karupaiya, semalam.

Azalina menyorot bahawa Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) menetapkan pengundian semula diadakan dalam kes seumpamanya hanya sekiranya pengundian belum bermula.

Sedangkan, kata Azalina yang juga penyandang parlimen Pengerang, bagi kes Padang Serai, pengundian awal sudah berlangsung pada 7 Nov dan 15 Nov.

"Pengundian awal yang sudah dijalankan juga menyebabkan calon baru tidak dapat dicalonkan di Padang Serai kerana undi awal telah pun dibuat dan tidak boleh ditarik balik.

"Tambahan pula, tiada peruntukan undang-undang untuk penamaan calon baru selepas pengundian bermula.

"Justeru, undian boleh dibuat di Padang Serai pada 19 Nov (Sabtu) mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dan tidak ada keperluan untuk sebarang pelantikan tarikh baru mahupun penangguhan pilihan raya umum oleh SPR," katanya dalam satu kenyataan media.

Azalina turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Karupaiya dan menyifatkan pemimpin PKR itu sebagai wakil rakyat yang berkebolehan dan disenangi rakan dan seteru politiknya.

Ketidakpastian berhubung Padang Serai timbul susulan pentafsiran berbeza Perkara 6 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

Perkara 6 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) menyatakan sekiranya calon meninggal dunia atau hilang kelayakan "sebelum mengundi", maka pilihan raya di kerusi itu mesti dibatalkan dan pengundian baru mesti diadakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun, dalam kes Padang Serai - pengundian awal telah pun berlangsung semalam, menyebabkan kekeliruan bagaimana untuk menafsir peraturan itu - sama ada pengundian dikira bermula pada Sabtu ini, atau pengundian dianggap bermula pada hari pengundian awal.

SPR semalam memaklumkan bahawa pihaknya akan bermesyuarat Jumaat ini untuk membincangkan isu berhubung pengundian di kerusi itu.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo