NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemimpin Umno tiba di PWTC untuk mesyuarat pasca PRU15

Beberapa pemimpin Umno kelihatan tiba di ibu pejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur bagi menghadiri beberapa siri mesyuarat termasuk mesyuarat Biro Politik Umno dan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT).

Antara yang kelihatan dan tiba seawal 11 pagi ialah Naib Presiden Mohamed Khaled Nordin, Ahli MT Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerja Mohd Sumali Reduan.

Turut hadir Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin, Pengerusi Umno Selangor Noh Omar, Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said serta dua lagi Ahli MT iaitu Johari Abdul Ghani dan Ahmad Jazlan Yaakub.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menerusi ciapan di Twitter malam tadi memaklumkan parti itu akan mengadakan mesyuarat biro politik pada tengah hari, diikuti mesyuarat MT pada tiga petang.

Turut dijadualkan berlangsung hari ini adalah mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada lapan malam.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 4.30 pagi tadi, BN hanya memperolehi 30 kerusi pada PRU15.

Semalam Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu menghormati keputusan rakyat dalam PRU15 serta menganggap ia satu isyarat besar kepada gabungan politik itu selain sedia menjadi jambatan bagi mengukuhkan hubungan baik antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Ahmad Zahid yang juga presiden Umno berkata pada masa sama, BN juga bersedia mengetepikan perbezaan sentimen sesama ahli parti sebelum ini dan dalam masa terdekat, akan memberikan tumpuan mengembalikan kekuatan parti terutama dalam menangani cabaran semasa serta lebih memahami keperluan generasi baru.

Keputusan rasmi yang dikeluarkan SPR menunjukkan PH memenangi 82 kerusi, termasuk lima yang dimenangi DAP di Sarawak dan satu kerusi yang dimenangi Muda.

PN pula memperoleh 73 kerusi, diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan calon Bebas (dua).

-Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo