NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemimpin BN jaga kubu sendiri di saat PH, PN lebih agresif


Menjelang PRU15, Pengerusi BN dan para penyokongnya dilihat penuh keyakinan ketika mereka menggesa agar Parlimen segera dibubarkan.

Namun, sepanjang tempoh kempen setakat ini, BN dilihat lebih banyak bertahan dengan barisan pemimpin utamanya, termasuk Zahid, serta "poster boy" Ismail Sabri Yaakob lebih memberi tumpuan di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Muhyiddin Yassin menyertai kempen di seluruh negara dalam usaha mereka mengalahkan BN dalam PRU15.

Bagi Ismail, yang dinamakan sebagai calon perdana menteri oleh BN, dia lebih banyak berada Bera sepanjang 10 hari kempen. Pada PRU lalu, dia hanya mempertahankan kerusi itu dengan meraih hanya 43.9 peratus undi.

Dia hanya keluar Bera dua kali. Pertama ketika berkunjung ke Ayer Hitam, Johor dan Alor Gajah, Melaka bagi berkempen untuk Presiden MCA Wee Ka Siong dan Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan.

Kali kedua adalah hari ini - di sebelah pagi, dia berada di Sarawak bagi berkempen untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum bertolak ke Putrajaya untuk bersama-sama Tengku Adnan Mansor.

Dia juga akan berkempen untuk Khairy Jamaluddin di Sungai Bulohdan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Kuala Selangor.

Ini jauh berbeza dengan Najib ketika PRU 2018, di mana dia giat berkempen di seluruh negara dengan singgah di sekurang-kurangnya tujuh negeri sepanjang 10 hari pertama kempen.

Najib yang ketika itu dihujani serangan ekoran skandal 1MDB mengambil stretegi menyerang dalam kempen PRU tersebut.

Ismail Sabri pula dilihat disibukkan dengan isu calon perdana menteri, di mana dia berusaha meyakinkan orang ramai bahawa dia adalah calon bagi BN, bukannya Zahid seperti didakwa sesetengah pihak.

Namun, perkembangan terbaru menguatkan lagi spekulasi Zahid cuba untuk memegang kuasa di Putrajaya.

Semalam, dia mengaku menawarkan jawatan menteri luar kepada Anifah Aman jika BN menubuhkan kerajaan. Pelantikan menteri adalah di bawah bidang kuasa perdana menteri.

Menjaga kubu sendiri

Seperti Ismail, Zahid juga menghabiskan banyak masa di kawasannya sendiri, iaitu Bagan Datuk.

Pada PRU lalu, presiden Umno itu mempertahankan kerusi itu dengan meraih 51.4 peratus undi dalam pertembungan tiga penjuru.

Namun pada PRU15 Zahid tidak lagi berdepan calon yang dianggap lemah. Kali ini, PH menghantar Shamsul Iskandar Md Akin - yang menewaskan bekas ketua menteri Melaka Mohd Ali Rustam pada PRU lalu - ke Bagan Datuk.

Zahid hanya berkempen di luar Bagan Datuk untuk tiga hari, iaitu pada 9 hingga 11 November. Sepanjang tiga hari itu, dia ke Sabak Bernam dan Sungai Besar di Selangor, Tangga Batu dan Masjid Tanah di Melaka, dan Titiwangsa di Kuala Lumpur.

Namun perlu dinyatakan ia bukanlah kaedah kempen Zahid yang benar-benar berbeza berbanding pada PRU lalu. Ketika itu, dia yang menjadi timbalan perdana menteri menghabiskan kebanyakan tempoh kempen di Bagan Datuk.

Berdasarkan liputan media dan media sosial, pemimpin utama BN lain yang dilihat menghabiskan banyak masa di kawasan masing-masing setakat 10 hari kempen adalah Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan (Rembau) dan Presiden MIC SA Vigneswaran (Sungai Siput).

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong - yang berdepan tekanan semasa berkempen di Ayer Hitam di saat LRT dilanda masalah di Kuala Lumpur - menjadi pemimpin BN yang paling giat.

Dia telah berkempen untuk calon MCA di Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan Melaka.

Namun ia tetap tidak boleh dibandingkan dengan pemimpin PH seperti Anwar, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Anwar yang merupakan calon perdana menteri PH telah pusing satu negara untuk meraih sokongan kepada PH.

Satu-satunya kawasan yang belum disinggahnya setakat ini adalah Lembah Klang. Selain itu, dia merentas negeri hampir setiap hari dan pada masa sama masih mencuri masa untuk berkempen di Tambun, kawasan yang ditandinginya.

Begitu juga dengan PN, apabila calon perdana menterinya Muhyiddin Yassin turut berkempen di serata negeri, iaitu Perak, Pahang, Perlis, Kedah dan Selangor, selain negerinya sendiri iaitu Johor.

Kempen BN juga dilihat ketinggalan dari beberapa aspek lain.

Pemerhatian Malaysiakini terhadap "perang bendera" mendapati walaupun BN yang menyebabkan PRU15 diadakan lebih awal, gabungan itu hanya mula menaikkan bendera dan sepanduk di banyak kawasan selepas dua atau tiga hari kempen bermula.

Malaysiakini juga mendapati BN juga tidak menggunakan terlalu banyak bahan kempen, misalnya sepanduk untuk memaparkan calon, di kubu kuat PH.

Pada Khamis lalu, Rafizi ketika berceramah di Ledang, Johor berkata ini kerana "panglima-panglima" setempat BN tidak ingin membazir wang jika hanya kekalahan menunggu mereka.

Mood berbeza

Kesemua faktor ini jauh berbeza dengan keyakinan yang ditunjukkan BN sebelum Parlimen dibubarkan apabila mereka meraih kemenangan besar dalam PRN Johor dan Melaka.

Namun, jika keputusan dua PRN itu disemak, BN hanya menang dengan undi popular kurang 50 peratus.

Di Johor, data membayangkan walaupun ramai pengundi baru keluar mengundi, banyak penyokong PH yang tidak berbuat demikian.

Di banyak kerusi, peratusan keluar mengundi juga jauh kurang berbanding PRU 2018.

Namun, mood sekarang sangat berbeza.

Pengundi di Johor memberitahu Malaysiakini bahawa rakan dan saudara mereka yang tinggal di negeri lain akan pulang untuk mengundi, begitu juga dengan mereka yang memang tinggal di situ tetapi tidak mengundi pada PRN lalu.

Tinjauan melibatkan pengundi pertama kali berusia 18 hingga 30 tahun menunjukkan 93 peratus daripada 1,084 responden berkata mereka ingin mengundi.

Tinjauan itu dibuat syarikat penyelidikan Vase.ai bagi pihak Malaysiakini.

Dengan keadaan di Johor sebagai petanda, PH menjangka peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi pada PRU15 yang akan memberi kelebihan kepada mereka.

Menggunakan syarikat analisis miliknya, Invoke untuk meramalkan keputusan PRU, Rafizi mendakwa kemungkinan paling tinggi pada masa ini adalah Parlimen tergantung.

Dia juga menjangka PH menang paling banyak kerusi, diikuti BN dan kemudiannya PN.

Namun, ia tetap bergantung kepada keadaan cuaca pada 19 November ini.

Seperti peringatan yang telah diberikan sebelum Parlimen dibubarkan lagi, banyak negeri kini dilanda banjir lebat setiap hari.

Banjir juga dilaporkan di banyak negeri. Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan terdapat 2,914 mangsa banjir di enam negeri yang perlu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 12 tengah hari tadi.

Pemimpin BN yang pernah menggesa PRU awal, setakat ini dilihat tidak melihat impak banjir terhadap PRU sebagai satu perkara yang besar, dengan Zahid berkata kerajaan sementara masih boleh mengendalikannya.

Jika banjir melanda pada hari mengundi Sabtu ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menggantung pengundian.

Keadaan cuaca sudah pun memberi kesan kepada kempen PH. Ceramah mega gabungan itu belum dapat mencapai jumlah kehadiran seramai pada 2018.

Namun, ceramah-ceramah tersebut biasanya turut disiarkan secara langsung di media sosial - strategi yang kian lazim digunakan sejak PRU lalu.


Sumber I Malaysiakini 




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo