NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS tolak DAP kerana cauvinis, mirip PAP - Abdul Hadi


KUALA LUMPUR:
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mendakwa mereka enggan kembali bekerjasama dengan DAP disebabkan parti itu bersifat ekstrem, cauvinis serta jelmaan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura.

Beliau berkata, ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengajak PAS untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR, namun ia ditolak disebabkan PAS baru saja keluar Pakatan Rakyat.

"Tun (Dr Mahathir) mengemukakan cadangan untuk membuat pakatan yang ada DAP, PKR, AMANAH bergabung untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

"Tetapi saya tidak setuju, saya beritahu (pada Dr Mahathir) kita baru saja keluar sebab bercanggah dengan parti itu. Tidak betul untuk masuk semula selepas dah keluar.

"DAP adalah parti yang cauvinis jelmaan PAP di Singapura. DAP juga adalah parti yang sangat ekstrem dan saya terangkan kenapa kita menolak parti itu," katanya dalam ceramah Jelajah Perdana PN Best yang disiarkan di laman Facebooknya, semalam.

Abdul Hadi berkata, ketika menjadi kerajaan, Pakatan Harapan (PH) dilihat memulakan tindakan serta kenyataan yang menggugat sensitiviti bangsa dan agama Islam dan perkara itu membentuk kerjasama bersama UMNO.

"Mereka memulakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dilihat mahu menghapuskan peranan agama dan rumpun bangsa. Mereka tahu sekiranya mengundi di Parlimen, ia akan kalah.

"Jadi saya bangun di Parlimen mengatakan demokrasi bukan saja di Parlimen, demokrasi bukan saja di pilihan raya, tetapi rakyat turun di jalan raya dan ia disambut dengan takbir oleh rakan-rakan UMNO. Selepas itu kita anjurkan perhimpunan," katanya.

Beliau berkata, hubungan antara UMNO dengan BERSATU berdepan kesukaran disebabkan UMNO beberapa kali menyatakan enggan bekerjasama dengan BERSATU.

"Kami mempunyai pandangan untuk mengumpulkan Ahli Parlimen sekurang-kurangnya mendapatkan majoriti mudah 112 kerusi Parlimen. Kami ajak BERSATU dan ajak UMNO dan bila UMNO buat perhimpunan, kami juga hadir tetapi tiba-tiba mereka kata hanya PAS dan UMNO saja.

"Tetapi saya katakan ia tidak boleh dan perlu bergabung dengan BERSATU serta parti-parti lain di Sabah dan Sarawak. Tetapi mereka membuat kacau bergaduh pula dengan PH, bertujuan untuk lepaskan kes-kes mahkamah dan mahu mengambil peluang, tetapi ia tidak berjaya.

"Sekali lagi mereka mahukan PAS dan UMNO saja, tetapi saya katakan tak boleh jika mahu selamatkan rakyat. Selepas itu kita jumpa pada hari Rabu mereka beri tempoh sehingga 12 tengah malam untuk memberi persetujuan.

"Bila kita berbincang kita buat keputusan untuk bersama BERSATU bagi membentuk Perikatan Nasional (PN)," katanya.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo