NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

"Pas Johor reda hanya bertanding empat kerusi" - Abdullah


JOHOR BAHRU:
Pas Johor mengakui keputusan pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang hanya meletakkan parti itu bertanding cuma empat kerusi di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini kurang memuaskan hati.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, percaturan kali ini kelihatan jauh berbeza jika dibandingkan sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRU14 lalu.

“Mungkin jadi satu pertanyaan juga kerana PRU14 Pas bertanding sebanyak 20 kerusi daripada 26 Parlimen.

“Pada PRN yang lepas Pas juga bertanding 15 kerusi dan untuk PRU15 hanya empat kerusi, apa pun kita fokus apa yang ada untuk potensi menang walaupun tak banyak.

“Walaupun dulu (PRU14) semua 20 kerusi kita tewas moga kali ini kita bertanding sedikit dapat menang banyak,” katanya sewaktu sidang media memperkenalkan calon Pas Johor pada Rabu.

Bagaimanapun, calon kerusi Parlimen Muar itu akur dengan ketetapan yang dibuat pucuk pimpinan PN kali ini meskipun apa yang disasarkan tidak memenuhi kehendak Pas Johor.

“Istilahnya, kami dengar dan kami taat (keputusan PN), tiada perkara yang boleh puaskan hati semua pihak kerana ada masa apa yang kita minta tak semestinya dapat, maknanya kita terima keputusan ketiga-tiga parti," katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN Johor turut meletakkan hasrat untuk memastikan kemenangan sulung buat parti itu bagi kerusi Parlimen di negeri berkenaan.

“Kita berhasrat untuk lahirkan ‘anak sulung’ yang boleh jadi kembar dua atau empat (menang kawasan Parlimen) jadi hasrat kita begitulah.

“Apa yang penting komitmen kita untuk ‘all out’ semua empat kawasan Parlimen yang kita bertanding.

“Insya-Allah hari penamaan calon kita akan sertai calon Pas untuk proses pada hari berkenaan,” ujarnya lagi.

Selain itu, Pas Johor turut memperkenalkan tiga lagi calon yang akan bertanding terdiri daripada Abdul Karim Deraman (Parit Sulong), Zanariyah Abdul Hamid (Sri Gading) dan Mohd Nazari Mokhtar (Tenggara).

Untuk rekod, Pas tidak pernah mewakili mana-mana kerusi di Parlimen Johor bagaimanapun mempunyai beberapa kemenangan di kawasan DUN.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo