NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Nasib gabungan bergantung pada undi Melayu, kata penganalisis

Penganalisis berkata, jika tidak mendapat undi Melayu yang kukuh, BN akan menjadi lemah, PN mungkin tenggelam manakala GTA lenyap.


PETALING JAYA: Penganalisis melihat parti berasaskan Melayu, Bersatu dan Pejuang akan berdepan masalah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana undi Melayu sukar untuk diramalkan.

Mereka berkata, Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajui Pejuang mungkin akan kehilangan semua kerusi disandangnya, termasuk Parlimen Langkawi dan Jerlun, yang cuba dipertahankan Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Mukhriz.

Barisan Nasional (BN) pula, kata mereka, perlu mendapat sekurang-kurangnya 65% undi Melayu untuk memenangi sejumlah kerusi yang diperlukan, manakala Pakatan Harapan (PH) perlu meningkatkan peratusannya kepada sekurang-kurangnya 30% jika mahu mendahului saingan membentuk kerajaan.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, nasib parti secara individu, dan gabungan keseluruhannya, bergantung kepada undi Melayu.

“Jika BN gagal mendapat sekurang-kurangnya 65% undi Melayu, ia akan berdepan masalah yang serius dan mungkin kehilangan beberapa kubu kuatnya. Jika berjaya mendapat peratusan ini, ia berada dalam kedudukan baik untuk menawan 75 hingga 80 kerusi di Semenanjung.

“Dan jika ia berjaya menarik kira-kira 20% hingga 30% undi bukan Melayu daripada PH, ia boleh memenangi 50 kerusi lagi dan membentuk kerajaan dengan mudah. Jika sasaran ini tidak tercapai, BN akan bergelut untuk membentuk kerajaan yang kuat dan stabil,” katanya kepada FMT.

Bagi Perikatan Nasional (PN), Azmi berpendapat gabungan pimpinan Bersatu itu akan berdepan cabaran sukar, sambil menambah, jika ia mendapat peratusan undi Melayu paling sedikit, ia akan menghadapi masalah.

Berdasarkan statistik pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor, (PN) dijangka akan bergelut jika corak itu berterusan pada PRU15, katanya.

“Jika mereka tidak mendapat undi Melayu yang mencukupi, yang membentuk sebahagian besar pengundi BN, akan menjadi satu tugas yang berat bagi PN untuk memenangi kerusi. Ada kemungkinan PN tidak memenangi mana-mana kerusi jika pengundi Melayu berpaling daripada mereka”, katanya.

Azmi berkata, PH memerlukan sekurang-kurangnya 30% undi Melayu untuk memenangi kira-kira 100 hingga 112 kerusi.

Beliau berkata, ia boleh membentuk kerajaan dengan mudah kerana parti Sabah dan Sarawak berkemungkinan besar akan sejajar dengan parti atau gabungan yang memenangi kerusi terbanyak supaya kerajaan persekutuan boleh menjadi kuat dan stabil.

“Bagaimanapun, ada syaratnya. PH mesti mengekalkan sekurang-kurangnya 70% undi bukan Melayu yang diperoleh sebelum ini jika mahu berada dalam kedudukan membentuk kerajaan akan datang,” katanya.

Bagi GTA, Azmi berkata, ia hanya boleh bertahan dengan undi Melayu, dan berkemungkinan mendapat maksimum dua kerusi, iaitu Langkawi dan Jerlun.

“Tetapi mereka mungkin kehilangan dua kerusi ini jika undi Melayu tidak berpihak kepada mereka,” katanya.

James Chin, profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania berkata, jika pengundi Melayu menolak BN, gabungan itu boleh berpecah.

“Tiada sebab untuk MIC dan MCA kekal dalam BN jika ini berlaku. (Tetapi) Saya tidak menjangkakan perkara itu akan berlaku,” katanya.

Chin berkata, petunjuk dalam PN “jelas bahawa satu-satunya enjin yang berfungsi dalam gabungan itu ialah PAS, kerana Bersatu tidak mempunyai daya tarikan.

“Saya menjangkakan Gerakan (komponen PN yang lain) akan kehilangan semua kerusi yang ditandinginya. PN pada asasnya dikendalikan oleh PAS untuk kepentingan (sendiri). PN harus menukar warna logonya daripada biru tua kepada hijau.

“GTA akan menjadi yang paling teruk dan mungkin boleh mendapat mana-mana kerusi antara sifar dan lima kerusi. Tokoh ikoniknya, Mahathir dalam bahaya di Langkawi. Ia tidak akan mempunyai sebarang tarikan kerana ia terdiri daripada parti Melayu yang salah.

“Salah satu misteri terbesar dalam PRU15 adalah mengapa Mahathir bergaul dengan semua kumpulan aneh ini. Ia tidak membawa kebaikan kepada reputasi dan warisannya. Penjelasan paling mudah adalah beliau terdesak,” katanya.


Sumber I FMT Malaysia 




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo