NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Najib minta beredar selepas diberitahu Jho Low curi AS$700 juta wang 1MDB: pemilik The Edge


KUALA LUMPUR
: Pengerusi Kumpulan Media The Edge, Datuk Tong Kooi Ong memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau diminta oleh Datuk Seri Najib Razak untuk beredar daripada kediamannya selepas mencadangkan ahli perniagaan dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho (Jho Low) didakwa kerana mencuri AS$700 juta milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kooi Ong berkata, dalam pertemuan di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta pada jam 10.45 malam, 6 Mac 2015, beliau turut menjelaskan, daripada AS$1 bilion yang disuntik bagi perjanjian usaha sama antara 1MDB PetroSaudi International Ltd (PSI), AS$700 dilencongkan ke syarikat Good Star Ltd, milik Jho Low.

Saksi ke-43 pendakwaan itu berkata, beliau juga menjelaskan mengenai peranan Jho Low yang membuat keputusan dalam hal ehwal perjalanan operasi 1MDB dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hanya mengambil arahan daripadanya (Jho Low).

"Selepas saya beritahu perkara itu, dia (Najib) minta saya beredar… saya pun beredar.

"Selepas itu saya terus menulis artikel berkaitan 1MDB, malah banyak lagi artikel saya tulis mengenainya.

"Najib sentiasa sahabat saya… Saya tidak pernah ada dendam sama ada dahulu atau pun sekarang," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada sesi pemeriksaan utama.

Terdahulu, Kooi Ong berkata, Najib yang kelihatan letih dalam pertemuan itu, memberitahunya bahawa artikel yang ditulis oleh The Edge mengenai 1MDB sejak tahun 2010 adalah salah.

Menurut saksi itu, Najib berkata, masalah yang berlaku dalam 1MDB adalah berkaitan model perniagaan, di mana syarikat pelaburan strategik negara itu banyak membuat terlalu banyak pinjaman.

Dalam pertemuan itu juga, saksi berkata, beliau banyak berkongsi nota dengan Najib dan menjelaskan mengenai ribuan maklumat dimilikinya melalui e-mel yang diperoleh daripada pemberi maklumat 1MDB, Xavier Justo.

Katanya, antara kandungan daripada ribuan e-mel itu ialah maklumat berkaitan syarikat PetroSaudi sebenarnya bukan syarikat dimiliki Arab Saudi dan AS$1 bilion serta aset yang disuntik melalui usaha sama 1MDB-PSI dibuat melalui penilaian palsu.

Terdahulu, saksi itu berkata, Ahli Parlimen, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir memperkenalkannya kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim selepas beliau berkongsi kebimbangan mengenai 1MDB dengan Aziz dalam pertemuan di sebuah pusat beli belah di Bangsar.

"Susulan itu, Abdul Azeez kemudian mencadangkan saya berjumpa Najib," katanya.

Ekoran kejadian itu, Kooi Ong berkata beliau disiasat oleh pihak berkuasa berkaitan kes pengubahan wang haram dan mengelak cukai, dan penerbitan akhbar serta portal perniagaan itu turut digantung selama tiga bulan dan juga dihalang daripada keluar negara,

Ditanya siapa yang difikirkan bertanggungjawab atas kejadian itu, Kooi Ong berkata, disebabkan liputan mengenai 1MDB, beliau pernah diyakinkan oleh penasihat media Najib ketika itu, Paul Stadlen untuk tidak menulis mengenai 1MDB kerana membuatkan banyak pihak dalam Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak gembira.

"Dalam pertemuan dalam satu majlis The Edge yang turut dihadiri Najib, Stadlen beri amaran bahawa PMO adalah berkuasa dan saya patut berhati-hati," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo