NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mohd. Shukri angkat sumpah MB Perlis baharu


ARAU
– Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Mohd. Shukri Ramli mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis di Istana Arau di sini hari ini.

Mohd. Shukri, 61, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dari Pas itu menerima watikah pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar tersebut berlangsung kira-kira pukul 4 petang tadi.

Mohd. Shukri yang merupakan Pesuruhjaya Pas Perlis adalah pesara guru yang berkhidmat dari tahun 1985 hingga 2013.

Beliau antaranya berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Beraya, Miri; SK Pulo, Kuching, SK Padang Keria, SK Dato Wan Ahmad, SK Felda Mata Ayer, SK Sanglang dan SK Sungai Baru.

Mohd. Shukri adalah lulusan Institut Perguruan Rajang, Sarawak.

Selain itu, Mohd. Shukri juga merupakan seorang pemimpin yang sangat dihormati berikutan sifatnya yang mesra dan berjiwa rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN Perlis berjaya membentuk kerajaan negeri apabila menang besar dengan menawan ketiga-tiga Parlimen serta 14 daripada 15 Dewan Undangan Negeri (DUN).

PN memenangi semua kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau serta kesemua DUN kecuali di Indera Kayangan yang dimenangi calon Pakatan Harapan, Gan Ay Ling.

Keputusan itu sekali gus menyebabkan kerajaan negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN) sebelum ini kini beralih kepada PN.

Ia sekali gus menamatkan penguasaan lebih 60 tahun BN di Perlis.

Bekas Menteri Besar dari BN, Datuk Seri Azlan Man juga tewas di DUN Bintong kepada calon PN, Fakhrul Anwar Ismail yang menang dengan majoriti 4,329. – KOSMO! ONLINE




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo