NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Fitnah : PAS Sandakan lapor polis terhadap pemimpin Warisan

Oleh: Aizal Samsaruddin
16 November 2022

SANDAKAN: PAS Sandakan telah membuat laporan polis terhadap pemimpin parti Warisan di Balai Polis Sandakan dekat sini, semalam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid berkata, laporan itu dibuat kerana kenyataan daripada salah seorang pemimpin Warisan yang berunsur fitnah menerusi satu video dalam kempen Warisan di Penampang, Sabah.

“Pemimpin Warisan itu menyatakan bahawa, bila PAS memerintah, maka hapuslah segala kebudayaan dan penjualan arak di Malaysia.

“Malah dia juga menyebut, maka dilaksanalah hukum potong tangan dan potong kaki,” katanya ketika ditemui sejurus selepas membuat laporan.

Menurut Sahar, kenyataan begitu sangat jelas berbaur kebencian terhadap PAS dan boleh mencetuskan persepsi buruk di antara golongan bukan islam terhadap PAS.

Tambahnya yang juga Yang Dipertua PAS Sandakan, PAS tidaklah seperti yang diperkatakan, PAS merupakan sebuah parti yang mementingkan perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia dan Sabah khususnya.

“Secara realitinya, PAS kerap kali melakukan kunjungan mesra terhadap golongan bukan islam, malahan golongan tersebut telah menerima dan menyambut baik kehadiran kerana mereka melihat, PAS itu bukan hanya untuk orang islam sahaja.

“Bukan itu sahaja, dalam PAS juga ada tertubuhnya Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang dianggotai oleh golongan Cina, India serta tidak terkecuali kaum Dusun, turut menyertai DHPP,” tegasnya lagi.

Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua PAS Libaran, Zulkifli Mohammad, Ketua Penerangan PAS Batu Sapi, Khairul Azlee Yunus dan Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Sandakan, Isaac Wong Kah Kiet.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo