KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli telah dipanggil Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul (IPD Sentul) pada jam 4 petang hari ini berhubung isu fitnah membabitkan Rafizi terhadap Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Timbalan Presiden PAS.

Ia adalah susulan satu laporan polis telah dibuat Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (IPD Dang Wangi) pada jam 12 tengah hari tadi yang diwakili Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa.

Dalam laporan tersebut, Mohd Zai menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera di bawah Seksyen 14, Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi, Akta Fitnah 1957, Akta Kesalahan Pilihan raya Seksyen 1954 4(A) bagi menyiasat pendedahan yang dibuat Rafizi terhadap Tuan Ibrahim yang didakwa mengandungi unsur fitnah.

Laporan polis yang dibuat oleh UMMAH di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 11 Nov 2022.

Rafizi sebelum ini mendedahkan kononnya berlakunya salah guna kuasa melibatkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di bawah Menterinya, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam kenyataan media Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertarikh 11 November 2022, Rafizi mendakwa projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion di Sungai Langat 2, yang diluluskan kerajaan secara tender terus kepada sebuah syarikat pada 7 Oktober, iaitu satu hari bekerja sebelum Parlimen dibubarkan.

Surat itu menyatakan Menteri Kewangan telah meluluskan agar projek tebatan banjir Sungai Langat 2 diberikan secara rundingan terus kepada syarikat yang didakwa Rafizi sebagai ‘kroni Umno’.

Rentetan itu, KASA telah mengeluarkan Kenyataan Rasmi bertarikh 7 November 2022 bertajuk ‘Kerajaan Caretaker tidak boleh membuat anugerah tender’.

“Sepanjang tempoh Kerajaan Caretaker iaitu selepas pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022, KASA telah menangguhkan segala proses perolehan berkaitan dengan Projek Tebatan Banjir secara Off-Budget (2023 – 2030).

“Ia termasuk pengeluaran Surat Niat (Letter Of Intent – LOI), Surat Pelawaan, Surat Setuju Terima (SST) dan sebarang bentuk rundingan dengan pihak kontraktor atau perunding termasuk Kerja-kerja Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat,” ujar kenyataan KASA pada 8 November 2022.

Sehubungan itu menurut Mohd Zai, pihaknya mengambil pendirian untuk bersikap telus kepada mana-mana pihak yang menyatakan dakwaan masing-masing.

Menjelaskan lebih lanjut, ujarnya, beliau telah meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Dato’ Seri Asri Hamidon dan Ketua Setiausaha KASA, Dato’ Seri Prof Zaini Ujang untuk memberikan penjelasan segera berkaitan keabsahan dokumen yang didedahkan Rafizi pada jam 10 pagi, pada Khamis.

Mohd Zai Mustafa menegaskan pihak UMMAH mengambil pendirian untuk bersikap telus kepada mana-mana pihak yang menyatakan dakwaan masing-masing.

“Selain itu, bukti-bukti dokumen seperti apa yang dinyatakan Rafizi juga perlu dikemukakan dan disahkan oleh dua individu tersebut,” jelas Mohd Zai kepada HarakahDaily, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya bertanggungjawab untuk membuat laporan polis untuk menghentikan sebarang bentuk kempen berunsur fitnah yang melampau dan di luar daripada norma-norma kempen pilihan raya.

“Kita bagi pihak UMMAH sangat terbuka kepada sesiapa yang terlibat dengan penyelewengan, fitnah ataupun berita palsu ini mesti diambil tegas kerana ini mencemarkan kempen pilihan raya umum pada kali ini,” katanya. 

Sumber | HARAKAHDAILY