NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Fitnah akhir zaman



Usia alam ini sebenarnya sudah cukup lama. Berapa lama usia kewujudannya, hanya Allah SWT yang mengetahuinya.

Pada mulanya hanya Allah SWT saja yang wujud dan tiada permulaan bagi kewujudan Allah SWT. Kemudian Allah SWT menciptakan makhluk-makhluk-Nya yang terawal, Arasy dan Al-Qalam.

Al-Qalam adalah pena yang menulis takdir di Luh Mahfuz. Dalam satu hadis, daripada ‘Ubadah bin ash-Shamit r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya makhluk pertama Allah ciptakan adalah Al-Qalam, kemudian Allah berfirman kepadanya: Tulislah! Kemudian Al-Qalam berkata: Wahai Rabbku, apa yang aku tulis? Allah berfirman: Tulislah takdir segala sesuatu sampai datang hari kiamat.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan disahihkan Syeikh al-Albany)

Bagaimanapun, dalam hadis lain menunjukkan ketika pena menulis ternyata Arasy dan air sudah diciptakan. Ia sebagaimana dalam hadis Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah menulis takdir semua makhluk 50,000 tahun sebelum menciptakan langit dan bumi dan Arasy Allah berada di atas air.” (Hadis riwayat Muslim)

Rupa bentuk Al-Qalam dan Arasy Allah itu hanya dapat kita saksikan di akhirat nanti. Bagaimana pula dengan kejadian manusia?

Manusia pertama diciptakan Allah adalah Adam a.s dan Hawa. Kedua-duanya tidak berbin serta berbinti sesiapa pun.

Kita semua yang hidup sekarang adalah umat terakhir bagi nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT iaitu Nabi Muhammad SAW.

Baginda juga adalah penutup kepada semua nabi dan rasul. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang daripada orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Ahzaab, ayat 40)

Kita perlu bersyukur, bertuah dan bangga apabila dipilih Allah SWT menjadi umat Nabi Muhammad SAW.

Percaya kepada apa yang disampaikan Baginda adalah kesempurnaan iman bagi seseorang mukmin. Mungkin ada yang masih sangsi mereka berada di penghujung zaman.

Terdapat hadis disebut oleh Nabi SAW yang dimulakan dengan, “... akan tiba satu hari, “... sesungguhnya menjelang datangnya kiamat, “... pasti akan terjadi pada umatku...” semua itu kita menyangka merujuk kepada zaman yang bakal berlaku di hadapan kita ratusan tahun lagi.

Sebenarnya, semua yang dinyatakan itu zaman yang kita hidup pada hari ini. Akhir zaman itu adalah mengenai kisah diri kita.

Kata-kata Nabi SAW itu benar dan ia sedang dan sudah berlaku. Antara peristiwa fitnah akhir zaman yang berlaku kepada umat Islam hari ini adalah penyakit cinta dunia dan takutkan mati.

Ramai umat Islam terperangkap dengan kekayaan harta, pangkat dan wanita sehingga mereka takut kehilangannya.

Bahana penyakit ‘al-wahn’ itu turut menjadikan umat Islam bangga dengan Barat. Malah ada yang menyalahkan agama sendiri kerana dianggap terkebelakang, mundur dan kolot serta berasa malu beramal dengan ajaran Islam.

Sebuah hadis daripada Tsauban, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan tiba masanya umat (manusia merujuk Yahudi Nasrani) yang ramai mengelilingi kalian seperti orang-orang yang mengerumuni (jamuan) hidangannya. Maka ada seseorang bertanya: Apakah kerana sedikitnya bilangan kami (kaum Muslimin).

Baginda menjawab: Bahkan ramai tetapi mereka (umat Islam) pada masa itu ibarat buih-buih air (di lautan). Sungguh Allah mencabut rasa takut daripada dada musuh kamu dan menimpakan penyakit al-wahn. Seseorang bertanya: Apakah penyakit al-wahn itu ya Rasulullah. Baginda menjawab: Cinta dunia dan takutkan mati.” (Hadis riwayat Ahmad)

Selain itu, ajaran Islam akan menjadi asing atau dianggap tidak sesuai dengan zaman. Asing itu bukan bermakna Islam tidak dikenali, bahkan pengikut umat Islam adalah agama yang mempunyai ramai pengikutnya.

Dalam hadis daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Islam bermula dalam keadaan asing dan kelak ia akan kembali asing sebagaimana dahulu ia bermula dalam keadaan asing dan sesungguhnya Islam akan kembali ke sarangnya di antara dua masjid (Masjidil Haram Makkah dan Masjid Nabawi Madinah) sebagaimana seekor ular akan kembali masuk ke lubang sarangnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Kita dapat saksikan pada hari ini ada individu atau masyarakat yang menga-
malkan ajaran mengikut syariat Islam, sunah dan akhlak Rasulullah SAW, namun dipulau dan dipandang serong.

Orang-orang Islam tidak lagi memperjuangkan Islam, malah mereka sanggup mengambil orang kapir menjadi sahabat dengan meninggalkan orang Islam. Mereka menjual agama mereka dengan pangkat, jawatan dan harta.

Bila diberikan amanah, mereka khianat mereka mengkhianati orang Islam dengan menjual keislaman dengan orang-orang bukan Islam.

Sedangkan, fahaman liberalisme dan kes perlakuan songsang bertentangan dengan fitrah seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diangkat serta dipertahankan sehinggakan golongan yang memperjuangkan hak itu diberi peruntukan undang-undang.

Ada segelintir umat Islam menyokong dan turut terpengaruh dengan perjuangan golongan itu.

Pada akhir zaman juga menyebabkan ramai orang merasakan diri mereka bijak. Golongan ulama dicerca dan diperlekeh. Golongan berilmu bersifat ego manakala pengikutnya pula begitu taasub.

Golongan ilmuwan juga kerap bertelagah yang tidak langsung mencerminkan ketokohan ilmunya. Tidak seperti golongan ilmuwan terdahulu, mereka sangat menjaga adab ketika berdepan perbezaan pendapat.

Begitu juga, akhir zaman dikaitkan dengan peristiwa pembunuhan kejam yang dilakukan secara beramai-ramai. Situasi yang dinyatakan itu menepati hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kiamat tidak akan terjadi sehingga banyak ‘harj’. Sahabat bertanya: Apakah ‘harj’ itu wahai Rasulullah?”

Baginda bersabda: “Pembunuhan. (demi) pembunuhan.” Sebahagian umatku yang dirahmati, mereka tidak akan dihisab dan tidak akan diseksa sama sekali di akhirat, seksa yang pernah dialaminya adalah pembunuhan, gempa dan fitnah (kekacauan).” (Hadis riwayat Hakim)

Pada akhirnya, kita semua nanti akan ‘berpindah’ ke satu tempat yang tiada lagi kematian iaitu ke syurga atau neraka.

Penulis wartawan Harian Metro



Komen: Contoh fitnah akhir zaman UMNOlah..




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo