NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Didakwa dedah kertas undi, Prabakaran beri penjelasan


KUALA LUMPUR -
Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Batu, P Prabakaran tampil memberikan penjelasan berhubung hantaran di akaun Instagramnya yang mendedahkan gambar dipercayai kertas undi bagi kawasan tersebut.

Penyandang kerusi Parlimen Batu itu berkata, pihaknya tidak memuat naik gambar berkenaan sebaliknya ia dikongsi semula secara tidak sengaja oleh pengendali akaun sosial medianya daripada hantaran pengguna lain.

“Pengendali (sosial media) saya itu kongsikan apa yang orang tag saya. Jadi apabila ada satu orang ini (pengguna) yang buat hantaran itu, pengendali saya tersilap kongsikan tanpa pengetahuan.

“Lepas kita tahu, kita padam (turunkan dari sosial media) terus. Itu sahaja. Tapi kita tidak pernah bongkarkan apa-apa kertas undi,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya, di sini, pada Isnin.

Calon Bebas Parlimen Batu, Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali Siti Kassim pada Isnin berkongsikan tangkap layar hantaran di akaun Instagram Prabakaran yang mendedahkan kertas undi bagi kawasan tersebut.

Dalam pada itu, Prabakaran berkata, beliau juga tidak dapat memastikan kesahihan kertas undi yang dimuat naik oleh akaun berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan kesediaan untuk memberikan kenyataan kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan dan mengakui maklum akan kesalahan tindakan itu.

“Saya tengah bincang dengan peguam saya macam mana. Sebab itu bukan kesalahan kita, kita tidak muat naik apa, orang lain yang muat naik tapi pengendali sosial media saya tersilap kongsi, itu sahaja

“Kalau kita yang muat naik, memang salah di bawah undang-undang,” ujarnya.

Untuk rekod, tindakan berkongsi atau mendedahkan kertas kertas undi merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo