NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cikgu Shukri angkat sumpah MB Perlis ke-11


ARAU:
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang, Mohd Shukri Ramli, secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu di Istana Arau, di sini hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis yang juga Pesuruhjaya PAS negeri itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang ke-11 sekitar jam 4.15 petang, selepas diperkenankan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Mohd Shukri, 61, menjadi Menteri Besar pertama dari gabungan PN yang mentadbir Perlis buat julung kalinya sejak merdeka selepas gabungan itu berjaya memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu lalu.

Kejayaan itu juga sekaligus menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu yang sudah mentadbir Perlis sejak 65 tahun lalu.

Turut berangkat pada majlis itu angkat sumpah itu adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Speaker DUN Perlis, Datuk Hamdan Bahari, barisan Adun Perlis yang baharu termasuk seorang dari Pakatan Harapan (PH) dan Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad.

Mohd Shukri atau cukup dikenali sebagai Cikgu Shukri dalam kalangan masyarakat tempatan, adalah pesara guru yang berpengalaman luas dalam profesion pendidikan selama 37 tahun serta pernah berkhidmat sebagai guru di pelbagai sekolah di Sarawak dan Perlis.

Beliau sudah berkahwin dan dikurniakan enam orang anak dan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau menyambung pendidikan di Institut Perguruan Rajang yang kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang, Bintangor, Sarawak.

Mohd Sukri kemudian memulakan karier sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Beraya, Miri, SK Pulo, Kuching dan lima lagi sekolah rendah di Perlis bermula 1985 sehingga bersara pada 2013 untuk 'terjun' ke bidang politik.

Mohd Shukri mula menjadi ADUN Sanglang selepas menang di kerusi DUN itu pada PRU13 pada 2013 sebelum terus mempertahankan kerusi berkenaan sehingga kini.

Kariernya dalam politik bermula apabila beliau pernah dilantik menjadi Ketua Penerangan PAS Perlis dan Setiausaha Perhubungan PAS Perlis sebelum diangkat menjadi Pesuruhjaya PAS Perlis dan Pengerusi PN Negeri Perlis malah beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Perlis sebelum ini.

Dalam pembabitan aktiviti dan kerja kemasyarakatan pula, anak kelahiran Sanglang itu pernah menjadi Setiausaha Masjid Dato Jaafar Hassan, Simpang Empat, Ketua Unit Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Sungai Padang, Pengerusi Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Lukmanul Hakim, Sungai Padang selain menjadi penaung kepada badan bukan kerajaan (NGO) di Arau dan Sanglang.

Pada PRU15 lalu, Mohd Shukri mempertahankan kerusi DUN Sanglang yang dimenanginya sejak PRU2013 lalu dalam saingan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional, Sharipudin Ahmad, calon Pakatan Harapan, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad dan Zainudin Yom dari Parti Warisan Sabah dengan majoriti 3,335 undi.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo