NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BN yang kahwin mutaah, dulu 14 parti sekarang 3 - bidas Muhyiddin


Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin hari ini membidas dakwaan bahawa hubungan Bersatu dan PAS hanya bersifat sementara seperti 'kahwin mutaah'.

Menyangkal dakwaan pemimpin BN, Muhyiddin berkata PAS adalah pengasas PN bersama Bersatu, yang kemudian disertai Gerakan dan parti-parti lain dari Sabah dan Sarawak.

"BN pun kahwin kontrak juga. Semua dah murafakah dah. Boleh jawab? Jangan cakap main-main.

"PAS adalah pengasas PN. Gerakan join kemudian, dan Sabah Sarawak.

"Jadi ini bukan perkahwinan mutaah. Dia (Mahdzir) kata begitu sebab kita semakin kuat," katanya menjawab kenyataan Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid hari ini.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan Mahdzir menyamakan hubungan antara Bersatu dan PAS sebagai "kahwin mutaah', selepas Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan membayangkan kemungkinan PN dan BN akan membentuk kerajaan selepas PRU.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, kenyataan akhbar atas nama Takiyuddin disiarkan di halaman Facebook rasmi PAS, dengan mendakwa kenyataan asalnya "diambil di luar konteks dan diberi tajuk yang juga mengelirukan pengundi".

Muhyiddin sebaliknya berkata, BN yang dahulunya memiliki 14 parti komponen kemudian berpecah dan kini hanya tinggal tiga.

"BN yang murafakah, bercerai, dulu 14 sekarang tinggal tiga," katanya merujuk tindakan parti-parti komponen BN termasuk dari Sabah Sarawak yang meninggalkan gabungan itu selepas tewas pada PRU lalu.

'PN boleh berdiri sendiri'

Ditanya mengenai pendirian PN sekiranya parlimen tergantung di mana tiada mana-mana gabungan parti politik boleh membentuk kerajaan sendiri, Muhyiddin berkata dia enggan membuat andaian.

Katanya, sekiranya dia mengulas perkara itu ketika ini, ia adalah sama seperti mengaku kalah.

"Tak akan kita jawab sekarang ini. Kita tak boleh andai. Saya harap akan ada satu gelombang peratusan pengundi keluar ramai, kalau itu berlaku, sejumlah besar pengundi Melayu keluar, PN ada harapan.

“Jadi saya tidak akan ulas perkara itu (gantung parlimen) sehingga sesuatu berlaku.

“Kalau saya andaikan sekarang nanti ada orang kata 'oh dia dah kalah',” kata Muhyiddin yang mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh.

Tambahnya, PN akan sedaya upaya berjuang dengan kekuatannya sendiri.

“Jika itu berlaku (parlimen tergantung) maka kita tahu apa yang perlu dilakukan. Bagi saya, apabila kita berkata kita mahu berjuang di atas platform tunggal kita sendiri, PN, tak ada lagi kata nak berbaik-baik dengan BN, PH, tidak!

"Kami berdiri sendiri. Kami berjuang atas kekuatan kami sendiri," katanya.

Muhyiddin sebelum itu berkempen untuk calon PN Johor Bahru, Mohd Mohtaj Yacob di medan selera Taman Sri Stulang, dan berucap di hadapan lebih 100 orang yang terdiri daripada petugas parti, penyokong PN dan penduduk projek perumahan kos rendah berhampiran.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo