NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Ahli Parlimen sokong saya jadi PM tidak langgar Akta Antilompat Parti' - Muhyiddin


SHAH ALAM:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa sokongan yang diterimanya untuk membentuk kerajaan turut datang daripada Ahli Parlimen atas kapasiti individu bukan parti.

Beliau berkata, akan mengemukakan akuan bersumpah esok untuk membuktikan gabungan itu mempunyai jumlah mencukupi bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan tindakan ahli-ahli Parlimen berkenaan tidak melanggar sebarang akta seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

"Kalau ikut Perlembagaan, ia mengatakan sokongan Ahli-ahli Parlimen, ia tidak kata parti mana, maknanya secara individu boleh, secara kumpulan dan parti boleh.

"Kalau ada mana-mana AhliParlimen yang membuat keputusan menyokong saya, itu hak Ahli Parlimen, ini bersandarkan Perlembagaan negara.

"Perlembagaan negara mesti dapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, ia tidak menyatakan sokongan mesti datang dari parti A atau parti B," katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa gabungan itu tidak menjalankan sebarang perbincangan untuk menyertai PN untuk membentuk kerajaan atau melantiknya sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin juga menjelaskan, sokongan yang diberikan oleh Ahli-ahli Parlimen itu tidak melanggar Akta Antilompat Parti hingga membolehkan mereka hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

"Ia tidak melanggar peruntukan Akta Antilompat Parti kerana mereka tidak keluar parti tetapi mereka secara individu menyatakan sokongan kepada saya. Jadi ia tidak menyalahi Akta Antilompat Parti," katanya lagi.

PN yang mempunyai 73 Ahli Parlimen sedang berusaha membentuk gabungan bersama beberapa parti bagi membentuk kerajaan baharu.

Terdahulu, Muhyiddin dilapor berkata, mempunyai sokongan yang mencukupi daripada parti dan beberapa Ahli Parlimen untuk membolehkan dirinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Beliau berkata, keyakinan itu diperoleh susulan pertemuan beliau dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini.

Menurut Muhyiddin, kedua-dua pemimpin itu serta “beberapa orang Ahli Dewan Rakyat lain” telah memberi komitmen untuk menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

Selain PN, Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai 82 kerusi juga sedang berusaha untuk menubuhkan kerajaan bersama parti-parti lain.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo