NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Agama, bangsa tak patut jadi isu dalam penubuhan kerajaan, kata Johari


PETALING JAYA:
Agama dan bangsa demi kepentingan politik tidak sepatutnya menjadi isu dalam penubuhan kerajaan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Johari Ghani.

Beliau berkata, pemikiran jumud itu tidak sepatutnya ada dalam negara yang sudah merdeka 65 tahun.

“Justeru adalah sangat mendukacitakan ketika perbincangan isu penubuhan kerajaan, ada pihak membelakangkan prinsip penubuhan negara ini dengan menggunakan isu agama dan bangsa demi kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, Barisan Nasional (BN) sejak diwujudkan sentiasa menghormati kepelbagaian kaum dan agama.

Johari berkata, beliau sendiri memenangi kerusi Titiwangsa dengan majoriti 4,632 undi dengan sokongan semua kaum di Parlimen berkenaan.

Katanya, semasa pemerintahan BN selama 61 tahun, negara ditadbir berdasarkan kepelbagaian kaum, agama dan bangsa.

“Kepelbagaian kaum yang dimiliki BN adalah aset yang sangat berharga sehinggakan ekonomi dapat dibangunkan dengan begitu baik semasa zaman BN memerintah.

“Negara telah beralih daripada sebuah negara pertanian yang mundur sehingga menjadi antara ekonomi terbesar di antara negara Asean,” katanya.

Beliau berkata, hal itu berlaku kerana BN sentiasa melihat pembabitan kepelbagaian kaum salah satu faktor penting menentukan kejayaan negara.

Katanya, Malaysia berjaya mencapai tahap kestabilan politik yang tinggi kerana menghormati semua kaum dan sanggup bekerjasama tanpa mengira bangsa, agama, adat resam dan perbezaan sosio ekonomi.

“Malah sewaktu kerajaan Keluarga Malaysia dan Perikatan Nasional yang dibubarkan sebelum PRU15 dan diketuai Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri mewujudkan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan pembangkang iaitu Pakatan Harapan dan DAP sehingga beliau dapat memerintah selama 14 bulan tanpa masalah.

“Tidak timbul isu ketika itu sama ada PH dianggotai oleh DAP,” katanya.

Johari juga berkata sejarah pilihan raya umum pada 2008, apabila kerajaan BN Selangor hilang kuasa apabila BN hanya ada 20 kerusi, PAS 15 kerusi dan PH 21 kerusi.

“Di Perak perkara yang sama berlaku BN 28 kerusi, PAS 6 kerusi dan PH 25 kerusi.

“Tiada parti yang mendapat majoriti tetapi PAS memilih untuk bekerjasama dengan PH (PKR dan DAP). BN pada masa itu menerima dengan hati yang terbuka. Sebab kita percaya kepada konsep kongsi kuasa pelbagai kaum,” katanya.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo