NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Adakah Muhyiddin angkat sumpah 4 petang ini?


Alor Setar: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 pada 4 petang ini di Istana Negara selepas didakwa mempunyai majoriti gabungan parti dan sokongan daripada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN). 

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ketika ini, beliau difahamkan terdapat sekurang-kurangnya 18 ahli Parlimen BN menyatakan kesediaan bersama PN dan menyokong Muhyiddin. 

"Senarai nama individu terbabit akan melalui beberapa prosedur dan perlu dihantar ke Istana Negara sebelum 2 petang dan bakal disusuli dengan Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri pada 4 petang.

"Doakan supaya semua ini berjalan dengan sempurna seperti diharapkan untuk kita bawa negara ini menjadi prihatin, bersih dan stabil," katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran PN Kedah di Kompleks Pas Kedah, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi meminta semua ahli Parlimen dan pimpinan Umno untuk menolak cadangan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang mahu bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

"Saya dapat maklumat Ahmad Zahid sedang memaksa ahli Parlimen BN yang menang dalam PRU-15 untuk menyertai kerajaan PH yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Buat masa ini tidak ada gabungan yang mahu menyertai mereka kecuali Ahmad Zahid seorang, beliau hanya mahu menyelamatkan dirinya daripada kes-kes mahkamah seperti dijanjikan Anwar dan atas sebab itu beliau mahu memastikan kesemua 30 ahli Parlimen BN menyokong Anwar," katanya.

Menteri Besar Kedah itu berkata, Ahmad Zahid sedang mengheret Umno untuk melanggar ketetapan Perhimpunan Agung Umno (PAU) iaitu No Anwar, No DAP.

"Bahaya membabitkan Anwar, DAP dan fahaman-fahaman dikendong perjuangan mereka sudah disebut banyak kali sebelum ini. 

"Jadi kalau ahli-ahli Umno terus merestui tindakan Presiden mereka untuk memaksa ahli Parlimen BN menubuhkan kerajaan bersama PH, maknanya mereka akan jadi pengkhianat terbesar dalam sejarah umat Islam di negara ini," katanya.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis berkenaan, Muhammad Sanusi berkata, setiap ahli Parlimen BN yang menyatakan sokongan kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri tidak akan terkesan dengan sebarang tindakan daripada Akta Anti Lompat Parti. 

"Mereka tak perlu melompat parti untuk nyatakan sokongan kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri. Kalau mereka dipecat pun, jawatan sebagai ahli Parlimen tak akan hilang kerana mereka bukannya melompat ke parti lain.

"Pada dasarnya, mereka tak perlu keluar daripada BN untuk menyatakan sokongan kepada Muhyiddin dan tindakan itu tak akan beri kesan apa-apa dalam Akta Anti Lompat Parti," katanya.


Sumber I Harian Metro






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo