NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ada angin perubahan bertiup di Sungai Buloh, kata KJ

Calon BN, Khairy Jamaluddin bersama legenda badminton negara, Lee Chong Wei dalam satu kempen di Sungai Buloh. (Gambar Facebook)

SUNGAI BULOH: Calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin yang bertanding di Parlimen Sungai Buloh pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), yakin kehadiran memberangsangkan penduduk sepanjang seminggu berkempen membawa mesej “angin perubahan” di kawasan terbabit.

Menteri kesihatan sementara itu berkata, berbekalkan auranya tersendiri, beliau berharap pengundi Sungai Buloh akan memberinya mandat bagi membolehkannya mewakili Parlimen itu yang dikuasai parti pembangkang pada PRU14.

“Saya terharu setelah seminggu berkempen di Sungai Buloh, ramai hadir (sertai kempen). Ini menandakan angin perubahan di Sungai Buloh.

“Saya sudah jatuh cinta dengan Sungai Buloh dan tidak sabar nak jadi Ahli Parlimen. Kalau boleh, saya mahu mula berkhidmat untuk penduduk (Sungai Buloh) hari ini,” katanya berucap pada Majlis Sepetang Bersama Pemimpin di sini yang turut dihadiri Menteri Pertahanan sementara, Hishammuddin Hussein.

Khairy berkata, beliau akan berkhidmat dengan berpegang kepada moto “Kerja Jalan” untuk membawa perubahan dalam pelbagai aspek di Parlimen terbabit.

“Saya sudah kerja kuat sebagai menteri kesihatan. Dan saya akan kerja kuat di Sungai Buloh juga. Tolong jangan sia-siakan peluang ini, BN letak saya sebagai calon di sini untuk bawa perubahan. Anda perlukan seseorang untuk mewakili kami,” katanya sambil diiringi laungan “KJ for SB” (Khairy Jamaluddin untuk Sungai Buloh) oleh ribuan penduduk.

Parlimen Sungai Buloh mempunyai 160,000 pengundi, dengan kira-kira 65% terdiri daripada orang Melayu, Cina (21%), India (10%) dan lain-lain (2%).

Sementara itu, Hishammuddin yang juga bendahari agung BN menyifatkan Khairy sebagai “pembawa perubahan” yang dipertaruhkan BN untuk membawa perubahan dan menarik pengundi muda di Parlimen itu.

“Kita perlukan ‘game changer’ khususnya dalam dunia politik. Kalau ‘stagnant’, tiada perubahan nanti rakyat, khususnya generasi muda akan letih dan akhirnya hilang minat mengikuti perkembangan semasa.”

Calon di Parlimen Sembrong itu berkata, kegigihan Khairy sebagai menteri kesihatan membuktikan kesungguhan beliau terhadap tanggungjawab yang diamanahkan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Saya kenal KJ selama 20 tahun. Dia seorang yang kuat bekerja. Beliau pemimpin yang boleh melaksanakan tugas. Berat tugas macam mana sekali pun, dia akan usahakan.”

Pada PRU15, Khairy akan ditentang enam calon, iaitu R Ramanan daripada Pakatan Harapan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional), Mohd Akmal Mohd Yusoff (Pejuang) dan Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan calon bebas, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff serta Nurhaslinda Basri.


Sumber I FMT Malaysia 



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo