NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

22 kertas siasatan, 4 individu ditahan


SEJUMLAH 22 kertas siasatan berhubung kesalahan semasa berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuka dan empat individu ditahan sehingga semalam.

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, lima kertas siasatan dibuka di Johor, masing-masing tiga di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur serta dua di Perak manakala masing-masing satu di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, kes pertama melibatkan seorang lelaki ditahan kerana dipercayai melakukan peras ugut terhadap pengadu di Bilik Gerakan BN, Bukit Bendera di Jalan Padang Tembak, Ayer Itam Pulau Pinang pada pukul 4.30 petang.

“Suspek mendakwa dia adalah gengster di kawasan terbabit dan lelaki itu turut meminta pengadu membuat pembayaran jika mahu memasang bendera parti di kawasan terbabit. Suspek akan membuat kacau ganggu jika pengadu ingkar

“Kes kedua melibatkan laporan seorang pengadu yang mendakwa seorang lelaki telah memuat naik gambar kertas undi yang memaparkan nama parti dan calon yang bertanding di Parlimen Gua Musang dalam aplikasi kumpulan Whatsapp.

“Pengadu musykil bagaimana kertas undi tersebut diperolehi dan tujuan ia dimuat naik dalam kumpulan WhatsApp tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) (J) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya
dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes ketiga melibatkan pengadu yang mendakwa seorang lelaki telah membuang bendera yang dipasang bersama ahli kempen BN ketika sedang memasang bendera parti pada jam 12.15 tengah malam di Jalan JB Air Hitam, Senai, Johor.

“Sepasukan anggota polis yang tiba di lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan mabuk telah membuat provokasi dengan cara mematahkan kayu bendera yang dipasang.

“Lelaki itu telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, kes keempat melibatkan pengadu bersama sepasukan polis sedang membuat pemantauan ceramah Pakatan Harapan telah melihat seorang lelaki membakar mercun di belakang pentas pada jam 10.48 malam di Jalan Bistari 4/1, Taman Yayasan, Segamat, Johor.

“Pengadu membuat tangkapan terhadap lelaki itu kerana membakar mercun terlarang dan tanpa permit di tapak kawasan ceramah.

“Tindakan lelaki itu boleh membahayakan orang ramai yang hadir untuk mendengar program ceramah tersebut, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Hazani berkata, statistik harian PRU15 bertarikh 8 November juga menunjukkan pengeluaran 3,457 permit ceramah di 14 kontinjen dengan permit terbanyak di h Sabah (623) diikuti Johor (482) dan Perak (413).

“Sebanyak 177 ceramah tanpa permit pula direkodkan secara keseluruhan. Pertama ialah Negeri Sembilan dengan 39, kemudian Perak (38) dan ketiga di Selangor (25),” katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo