NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Walau PAS minta laluan, Umno cuba selamatkan Anwar di Tambun


KUALA LUMPUR:
Umno tetap meletakkan calon di kerusi Parlimen Tambun biarpun PAS ada meminta parti itu memberi laluan dan bekerjasama dengan calon Perikatan Nasional (PN), Ahmad Faizal Azumu bagi menewaskan Pakatan Harapan (PH) diwakili Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, berkata di peringkat Barisan Nasional (BN) tiada pakatan untuk memberi laluan kepada mana-mana parti lawan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Kita tidak ada pakatan untuk memberikan laluan kepada (mana-mana parti lawan) dalam pertandingan ketika PRU15.

“Oleh itu tak berbangkit Umno, BN tak hantar calon di Tambun. Kita akan berdepan apa juga keputusan kemudiannya,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan FMT di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang pemimpin PAS yang meminta Umno, parti itu dan Bersatu membentuk pakatan pilihan raya di Tambun jika mahu melihat karier politik Anwar “tersungkur” di Parlimen berkenaan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki, berkata Parlimen Tambun dan dua DUN bawahnya, iaitu Hulu Kinta dan Manjoi, boleh ditawan parti Melayu jika Umno memberi laluan kepada Faizal daripada Bersatu bertanding di situ, manakala calon Umno di Hulu Kinta dan PAS di Manjoi.

Tambun adalah kubu kuat BN, namun jatuh ke tangan PH pada PRU14 apabila Bersatu berada dalam gabungan PH ketika itu.

Bagaimanapun, Bersatu keluar daripada PH susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Parlimen Tambun kini dipegang Bersatu, menerusi Faizal, sementara DUN Hulu Kinta dan DUN Manjoi milik PH.

Dalam pada itu, Ahmad berkata secara tradisinya seperti pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor, BN tetap akan meletakkan calon untuk bertanding biarpun berdepan dengan tiga atau empat penjuru.

Katanya, BN dan Umno tetap berpeluang menang walaupun berdepan dengan tiga atau empat penjuru.

“Setakat apa berlaku di Melaka dan Johor, pertandingan tiga dan empat penjuru termasuk (berdepan) Pejuang kami akan letak calon di mana-mana tempat juga tidak kira siapa bertanding,” katanya.

Katanya, rakyat sudah memahami keadaan politik dan jika mereka mahu kestabilan serta kemakmuran, sudah tentu pilihannya adalah BN tidak kira siapa calon yang akan diletakkan.

Sementara itu, Ahmad berkata beliau enggan mengulas tindakan Anwar yang berpindah-pindah kawasan untuk bertanding pada setiap pilihan raya umum.

Katanya, Anwar berhak bertanding mana-mana kawasan.

Bagaimanapun, beliau berkata BN dan Umno tetap akan lawan sehingga menang.

“Kenapa nak berpindah randah dari Permatang Pauh ke Port Dickson dan selepas itu ke Tambun. Itu hak dia.

“Kita tidak mahu komen apa-apa perkara itu. Saya kira ‘lawan tetap lawan’ sebagaimana slogan mereka ‘lawan sampai menang’,” katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo