NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiga nasihat Dr Zulkifli untuk parti politik

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi tiga nasihat utama ditujukan kepada semua parti politik khususnya buat pemimpin dan pasukan jentera masing-masing dalam menghadapi musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). - Gambar fail BERNAMA

SHAH ALAM: Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi tiga nasihat utama ditujukan kepada semua parti politik khususnya buat pemimpin dan pasukan jentera masing-masing dalam menghadapi musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, semua pihak terbabit pertamanya diminta supaya memperbaharui niat ketika memasuki kempen PRU akan datang.
“Dua tunjang utama politik Malaysia adalah rakyat dan agama. Kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa ‘janji Puteri Gunung Ledang’ oleh pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab.
“Apatah lagi kita tidak mahu soal agama Islam selaku agama Persekutuan dikesampingkan oleh mana-mana parti yang memerintah kelak. Isu moral dan akhlak adalah asas pembinaan negara yang stabil, maju dan seimbang.

“Justeru, tidak ada kompromi bagi pihak yang memandang ringan soal agama,” katanya yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Kedua, Zulkifli berkata, semua pihak terlibat dinasihatkan agar tidak keterlaluan membenci dan memusuhi antara satu sama lain semasa berkempen.
“Usik-mengusik itu biasa semasa kempen tetapi adab dan akhlak hendaklah dipelihara.
“Tidak perlu keterlaluan membenci dan memusuhi kerana hakikatnya kempen cuma perlawanan kebijaksanaan dalam mengatur strategi mempromosi parti masing-masing di lapangan dan media sosial,“ ujarnya.
Ketiga, beliau berkata, pihak terbabit juga dinasihatkan supaya mengelakkan daripada menyebar fitnah kerana ia disifatkan sebagai sekeji-keji bentuk kempen dan permainan politik.
Katanya, perbuatan fitnah boleh menaikkan seseorang yang jahat dan berupaya menjatuhkan seseorang yang baik.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, beliau tertarik dengan kesungguhan sebahagian anak muda di platform TikTok yang merupakan pengundi baharu dalam membuat penelitian menerusi internet bagi menilai calon dan parti mahu dipilih pada PRU15.
“Hakikatnya, masih ramai pengundi baru yang kabur dalam hal ini. Selain carian di alam maya, saya sarankan supaya hadir ke rapat umum semua calon yang bertanding.
“Dapat maklumat sebanyak mungkin melalui pertanyaan, perbualan dengan pengundi yang lebih senior daripada pelbagai parti. Akhirnya, mohonlah petunjuk daripada ALLAH SWT melalui solat istikharah,” katanya.
Zulkifli berkata, secara idealnya, semua pihak mahukan pemimpin terbaik bagi diri dan generasi akan datang, namun realitinya keputusan yang dibuat adalah seumpama memilih antara dua kelemahan.
“Pilihlah yang lebih ringan atau kurang kelemahannya, asalkan mereka berjaya membuktikan kesungguhan mereka mengutamakan memperkukuh ekonomi, mensejahterakan rakyat dan memelihara agama. Selamat berkempen dan selamat mengundi,” ujarnya.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo