NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Syed Saddiq diarah bela diri atas 4 pertuduhan

Penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diperintah membela diri atas empat pertuduhan iaitu subahat, pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Mahkamah menetapkan bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu membela diri bermula 13 Februari tahun depan.

Syed Saddiq didakwa atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada melakukan pecah amanah dana RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Bagi dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin hadir mengetuai pasukan pendakwaan manakala peguam Gobind Singh Deo mengetuai pembelaan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo