NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Suraya lepas jawatan EXCO Kedah

SUNGAI PETANI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob, hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Kedah yang berkuat kuasa serta merta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga negeri mengumumkan peletakan jawatan itu menerusi satu kenyataan media selepas mesyuarat EXCO di sini, hari ini.

Suraya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Pendang tidak menyatakan sebab beliau bertindak sedemikian.

Namun, sumber mengatakan tindakan itu mempunyai kaitan dengan nama beliau yang diuar-uar disenarai antara calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Pendang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Tindakan itu perlu memandangkan PAS yang menerajui kerajaan negeri melalui mesyuarat semalam mengesahkan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri yang diterajuinya, termasuk Kedah.

Sementara itu, Suraya ketika dihubungi tidak mengulas lanjut peletakan jawatannya itu, namun memaklumkan belum ada kepastian sama ada beliau akan bertanding di kerusi Parlimen dalam PRU15.

Untuk rekod, Suraya menyandang kerusi DUN Sungai Tiang selama empat penggal sejak 2004.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, ketika diminta mengulas mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan Suraya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga negeri.

Beliau berkata, jawatan yang dikosongkan Suraya itu akan digantikan dengan EXCO baharu selepas ini.

"Suraya sudah serahkan fail berkaitan portfolionya dan kita rancang untuk penggantian EXCO baharu," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di sini.

Ditanya apakah peletakan jawatan Suraya disebabkan spekulasi bahawa beliau akan bertanding bagi kerusi Parlimen pada PRU15, Muhammad Sanusi berkata beliau tidak menolak kemungkinan berkenaan.

Sumber | BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo