NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Saya bertanding bukan untuk ancam sesiapa' - Radzi Jidin


AMPANG:
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan niatnya bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukanlah untuk memberi ancaman kepada mana-mana pihak.

Naib Presiden BERSATU itu berkata, tumpuannya hanya satu iaitu memastikan kemenangan berpihak kepada PN.

"Saya pergi situ bukan nak ancam siapa-siapa, nak menang sahaja.

"Insya-Allah, apa saja cabaran kita usahakan yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bicara Transformasi Pendidikan Bersama-Sama Komuniti di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ukay Perdana, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri,

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan), Nor Azman Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan penyandang kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang melihat strategi PN mencalonkan Menteri Kanan Pendidikan itu di Putrajaya pada PRU15 tidak menjadi ancaman kepada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN Putrajaya itu dilaporkan berkata, BN sentiasa bersiap sedia menerima kehadiran mana-mana parti dan calon yang mahu bertanding di kawasan itu.

Radzi berkata, walaupun berdepan laluan sukar di Parlimen Putrajaya, beliau yakin mampu melakar kejayaan jika berupaya memahami denyut nadi penduduk setempat.

"Saya duduk empat tahun di Putrajaya, kita faham dan duduk bersama pemimpin masjid dan surau, pemimpin persatuan penduduk, komuniti kebun, pemimpin sukan, jadi kita tahu apakah cabaran (dihadapi) mereka.

"Paling penting kita akan laksanakan yang terbaik untuk penduduk. Potensi Putrajaya cukup luas tetapi ada keperluan mendesak termasuk penyelenggaraan kuarters kerajaan, pengangkutan bas, tempat parkir. Ini yang diutarakan kepemimpinan Putrajaya, tetapi tidak diberi perhatian sebelum ini," katanya.

Untuk rekod, pada PRU14, Radzi bertanding di kerusi Parlimen Ketereh namun kalah kepada calon BN, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Senator pada 17 Julai 2018 seterusnya dilantik Menteri Kanan Pendidikan di bawah kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo