NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rundingan dengan UMNO gagal, PN letak calon di 27 kerusi kritikal


MARANG -
Rundingan Pas bersama UMNO berhubung agihan 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal gagal mencapai kata sepakat menyebabkan Pas melalui Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan untuk meletakkan calon bagi kesemua kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PN akan meletakkan calon daripada parti komponen itu bagi menentang calon BN dan Pakatan Harapan (PH).

"Pertembungan di kerusi berkenaan tidak dapat dielakkan kerana ada pihak yang merasakan ‘kuat’ serta mampu memenangi kerusi berkenaan.

"Ada dalam kalangan pemimpin UMNO kata, kalau bertembung pun dia boleh menang, jadi ia agak ‘cocky’ dan kita ambil keputusan untuk lawan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Turun Padang dan Jamuan Rakyat serta menyampaikan Suratan Hakmilik Tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini pada Khamis.

Ahmad Samsuri berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan bagi memberi laluan kepada UMNO dan BN untuk bertanding di kerusi tertentu bagi memastikan ia tidak terus dikuasai dan jatuh ke tangan PH.

"Pas akan ambil kerusi itu macam biasa, sama ada Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bergantung kepada keputusan akhir perundingan antara Pas, Bersatu dan rakan-rakan dalam PN.

"Ada yang Bersatu ambil, ada yang Pas ambil, ada Gerakan ambil. Jadi kita lihat hasil rundingan nanti," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, agihan kerusi PN kini sudah mencapai 90 peratus sebelum satu lagi siri rundingan diadakan pada Jumaat.

"Agihan kerusi kita sudah 90 peratus selesai tinggal dalam 10 peratus lagi. Insya-ALLAH, esok ada satu lagi siri lagi rundingan,” katanya.

Sebanyak 27 kerusi Parlimen yang disifatkan sebagai kritikal itu melibatkan 20 kerusi Parlimen majoriti Melayu yang dimenangi PH pada PRU14, serta tujuh lagi yang menyaksikan PH kalah tipis.

Berdasarkan keputusan PRU14, kesemua kerusi Parlimen berkenaan dikatakan kawasan kritikal kerana apabila jumlah undi UMNO dan Pas digabungkan, ia boleh mengatasi undi yang diperoleh PH.

Kawasan itu ialah Kangar, Jerlun, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu, Parit Buntar, Tambun, Lumut, Raub, Indera Mahkota, Kuantan, Temerloh, Sungai Besar, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kapar, Kuala Langat, Titiwangsa, Kuala Pilah, Tampin, Sri Gading, Tanjung Piai, Tangga Batu dan Putatan.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa, PH mampu memenangi 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal itu jika menguasai 30 peratus sokongan pengundi Melayu di kawasan berkenaan.

Katanya, kemenangan itu boleh dicapai sekiranya PKR dan PH boleh merayu pengundi Melayu yang mencukupi, walaupun berada dalam pertarungan satu lawan satu, sama ada bertembung dengan UMNO atau Pas.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo