NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU15: Kedah, Terengganu akur pendirian tidak bubar DUN, P. Pinang masih menanti

Pimpinan Pas Kedah dan Terengganu akur dengan pendirian Pas Pusat untuk kekal tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pimpinan Pas Kedah dan Terengganu akur dengan pendirian Pas Pusat untuk kekal tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala pimpinan DAP di Pulau Pinang masih berharap DUN dapat dibubarkan bersekali dengan peringkat Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Kita akur dengan Pas Pusat, bubar atau tidak (bubar) ia bergantung kepada Pas Pusat," kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) hari ini.
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan di Ibu Pejabat Pas di Kuala Lumpur hari ini antara lain membuat keputusan mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga menerima sepenuhnya keputusan Pas Pusat tersebut.
"Kerajaan negeri Terengganu mendukung penuh keputusan Pas Pusat yang telah dikeluarkan hari ini," katanya dalam kenyataan malam ini.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow kekal dengan pendirian untuk membubarkan DUN agar pilihan raya negeri berjalan serentak dengan PRU15.
Beliau berkata DAP Pulau Pinang telah sedaya upaya mencuba untuk meyakinkan DAP pusat untuk membawa isu berkenaan kepada mesyuarat Majlis Presiden PH.
"DAP Pulau Pinang telah membawa hujah terbaik kepada DAP pusat untuk kaji semula keputusan mengadakan PRU serentak.
"Saya sendiri telah menghadiri mesyuarat PH pusat semalam dan telah dimaklumkan pertimbangan sedang dilakukan oleh PH pusat," katanya.
Chow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata faktor yang membawa kepada cadangan pembubaran DUN itu adalah disebabkan oleh seruan rakyat negeri dan juga logistik yang lebih mudah sekiranya pilihan raya negeri dan Parlimen diadakan serentak.
Semalam, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa keputusan untuk tidak membubarkan DUN yang ditadbir oleh PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang jika PRU15 diadakan tahun ini masih terikat.
Majlis Presiden PH sebelum ini memutuskan bahawa ketiga-tiga negeri tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa 10 Okt untuk memberi laluan kepada PRU15 selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Susulan pembubaran Parlimen ke-14, Perdana Menteri turut mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor agar mendapatkan perkenan Sultan serta Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan pilihan raya negeri dan Parlimen diadakan serentak.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo