NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemimpin PKR Batu, ditahan kerana berkempen di atas jalanraya

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin PKR Cabang Batu di sini, ditahan polis bagi membantu siasatan enggan memberi kerjasama dengan membuat provokasi mempersoalkan kuasa pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima makluman berhubung tindakannya memberi pengucapan awam pada jam 5.45 petang semalam.

"Individu itu menggunakan pembesar suara di atas jalan dan didapati menghalang lalu lintas di Jalan 45/10, Taman Koperasi Polis Fasa 2.

"Anggota yang ke lokasi mendapati lelaki terbabit memegang kayu yang diikat bersama bendera parti politik serta memegang pembesar suara. Dia sedang berkempen berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis meminta individu terbabit untuk mengemukakan pengenalan diri, namun dia enggan memberikan kerjasama selain membuat provokasi mempersoalkan kuasa polis.

"Selepas menerangkan hak-hak untuk menahan dan memeriksa, dia dinasihati untuk beredar namun enggan, malah sekali lagi melakukan provokasi dengan mempertikaikan hak pengadu sebagai anggota polis. Susulan itu, lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Eng Lai berkata, semakan rekod mendapati lelaki terbabit memiliki satu rekod jenayah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 283 Kanun Keseksaan kerana membuat halangan di jalan awam.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo