NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS tiada masalah, sudah biasa bertanding 'solo'

ALOR SETAR: PAS Kedah tidak mempunyai sebarang masalah untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya perkara itu diputuskan kepemimpinan di peringkat Pusat.

Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata keyakinan itu berdasarkan pengalaman PAS yang selama ini sudah biasa menghadapi pilihan raya secara bersendirian sejak dahulu lagi.

"Insya Allah boleh (menghadapi PRU-15 secara solo) kerana kita mampu, yang lepas (PRU-14) pun kita solo.

"Kita (sudah) solo daripada mula-mula dulu, (maka) tiada masalah," katanya ketika ditemui pada Program Gotong Royong Mega 2.0 Perangi Aedes di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bahawa PAS bersedia menghadapi PRU-15 tanpa UMNO selepas kemelut membabitkan kerjasama antara PAS dan Barisan Nasional (BN) yang masih berlarutan.

Beliau berkata, jentera parti berada pada tahap terbaik untuk menghadapi PRU-15 pada bila-bila masa sahaja bersama gabungan Perikatan Nasional (PN).

Dr Mohd Hayati yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri menegaskan, pihaknya juga akur dengan segala keputusan PAS Pusat termasuk bersetuju dengan apa yang dinyatakan Muhammad Sanusi.

"Ketua Pengarah Pilihan Raya sudah kata macam itu (PAS sedia bertanding solo), saya nak kata apa lagi," katanya.

Sumber | BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo