NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MB Pahang sedia pertahan kerusi DUN Jelai


KUANTAN:
Menteri Besar sementara Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail sedia mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai yang dimenanginya sejak tahun 2004, pada pilihan raya umum Ke-15 (PRU15).

“Insya-Allah saya sedia pertahankan kerusi DUN Jelai jika diizinkan pucuk pimpinan parti. Setiap kali bertanding majoriti undi saya meningkat, ini merupakan rekod prestasi saya dan angka tidak pernah berbohong,” katanya.

Wan Rosdy yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang 2022 (I-Push) di Dewan Bandaraya Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan di sini hari ini.

Pada pilihan raya umum lepas, Wan Rosdy menang kerusi DUN Jelai dengan majoriti 3,507, menewaskan calon PAS Abdul Karim Nor yang memperoleh 2,351 undi, manakala calon PKR dan Parti Sosialis Malaysia iaitu Abdul Rasid Ali dan Mat Nor Ayat yang masing-masing hanya mendapat 1,298 undi dan 229 undi.

Selain itu, Wan Rosdy berkata BN Pahang akan menyerahkan senarai calon boleh menang dan bebas rasuah untuk bertanding pada PRU15, dengan kombinasi muka lama, pertengahan dan baru, kepada pucuk pimpinan parti.

“Bila berlaku pilihan raya, sudah tentu akan berlaku perubahan. Tidak bermakna muka yang sama setiap masa atau 100 peratus Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sedia ada akan kekal, mesti ada perubahan.

“Untuk pastikan calon bebas rasuah, kita ada rujuk dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Pada PRU14, BN menang 25 daripada 42 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh sembilan dan PAS (lapan).

Bagi kerusi Parlimen pula, daripada 14 kerusi Parlimen, BN menang sembilan dan bakinya PH.

Bagaimanapun, PH hilang satu kerusi apabila Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah mengumumkan keluar PKR dan menyertai Bersatu pada tahun 2020.

Sementara itu, mengulas mengenai Skim I-Push 2022, Wan Rosdy berkata ia merupakan inisiatif kerajaan negeri bersama Bank Muamalat, yang menawarkan pembiayaan antara RM3,000 hingga RM10,000 dengan pinjaman balik tanpa faedah selama lima tahun, selain memberikan moratorium pada tahun pertama.

Inisiatif yang menyasarkan usahawan mikro yang terjejas akibat COVID-19 dan banjir itu, melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada 2,500 penerima.

Penyerahan fasa satu hari ini, melibatkan 751 usahawan termasuk penjaja kecil dengan peruntukan sebanyak RM7.15 juta, manakala bakinya akan disalurkan kepada mereka yang layak dalam masa terdekat.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo