NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lepas digugur DAP, Wong Tack isytihar bertanding di Bentong atas tiket bebas

Dalam satu langkah penuh dramatik, Wong Tack, yang digugurkan oleh DAP sebagai calon di kerusi parlimen Bentong, berkata dia akan bertanding sebagai calon bebas di kerusi itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bulan depan.

Wong dalam satu sidang akhbar hari ini berkata di akan bertanding di bawah ‘tiket rakyat’.

“DAP memutuskan untuk tidak meletakkan saya di kerusi parlimen Bentong pada PRU15. Saya diberitahu saya tidak akan sesuai dengan strategi besar mereka pada pilihan raya umum,” kata aktivis anti-Lynas itu.

“Sejak empat tahun lalu, saya bersungguh-sungguh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat Bentong. Bentong adalah kampung halaman saya, saya tetap komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Dengan itu, saya dengan ini mengumumkan bahawa saya, Wong Tack, akan bertanding di bawah ‘tiket rakyat’.”

Awal hari ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan bahawa Young Syefura akan bertanding menentang bekas presiden MCA Liow Tiong Lai, yang menewaskan Wong pada 2013 tetapi kalah kepadanya pada 2018.

Bercakap pada sidang media selepas mengumumkan pencalonan itu, Loke berkata dia percaya Young Syefura adalah calon boleh menang di Bentong.

“Keputusan dibuat bukan hanya berdasarkan pemerhatian, tetapi ada juga tinjauan, dan kami percaya dia adalah calon boleh menang di sana," jelasnya.

"Jika dipilih, dia akan menjadi ahli parlimen wanita Melayu pertama DAP dan saya meletakkan kepercayaan kepadanya, setelah berkhidmat di kawasan itu selama lima tahun. Dia juga mempunyai rekod prestasi yang baik dalam kalangan pengundi di kawasan Ketari.

"Itu adalah salah satu faktor yang boleh membantu parti memenangi kerusi itu," kata Loke.

Dalam pada itu, Loke berkata DAP telah menawarkan kepada Wong untuk bertanding di Cameron Highlands, tetapi dia tidak bersetuju.

'Tidak minat dalam permainan politik'

Mengimbas kembali persefahaman antara DAP dan gerakan Himpunan Hijau pada 2013, Wong berkata dia telah dicalonkan oleh gerakan itu untuk bertanding dalam pilihan raya tahun itu.

Dia berkata, Setiausaha Agung parti ketika itu, Lim Guan Eng bersetuju pencalonannya akan memberi impak positif kepada Pakatan Rakyat untuk memenangi kerusi di Bentong.

“Hari ini, DAP memutuskan untuk menamatkan persefahaman ini. Saya ingin menjelaskan bahawa rakyat menentukan jalan dan takdir mereka sendiri. Pilihan di tangan kita.

“Kami juga tidak berminat dengan permainan politik, khususnya politik parti. Rakyat bukan bidak dalam permainan catur.

"Kami di sini untuk membina platform untuk kuasa rakyat sebenar, untuk menanam benih harapan bukan sahaja di Bentong, tetapi untuk negara," kata Wong.

Untuk rekod, Wong telah membantah aktiviti perlombongan Lynas di Malaysia sejak 2011.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo