NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lelaki maut dihempap kereta ketika curi ekzos


KUALA LANGAT:
Seorang lelaki maut dihempap kereta ketika sedang melakukan jenayah curi ekzos kenderaan itu di Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar jam 4 hingga 6 pagi.

Menurutnya, polis dimaklumkan kejadian itu selepas menerima maklumat daripada pembantu perubatan Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang yang mengatakan telah merawat seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang telah meninggal dunia di tepi sebuah kenderaan jenis Honda Accord.

"Siasatan polis mendapati kejadian berlaku semasa si mati (suspek) dan seorang rakannya dipercayai sedang cuba untuk mencuri tabung ekzos kereta terbabit.

"Tiba-tiba alat pengangkat kereta yang digunakan telah terjatuh sebelum kereta itu menghempap si mati," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 10.45 pagi hari yang sama, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan pasukan ronda cegah jenayah Balai Polis Telok Panglima Garang telah berjaya menahan rakan sejenayah si mati di sekitar kawasan Telok Panglima Garang.

"Suspek berusia 32 tahun ini didapati memiliki tujuh rekod jenayah dan dua kes dadah.

"Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Banting untuk siasatan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan," ujarnya. - Sinar Harian



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo