NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kabin kontena musnah di kediaman MB Kedah mungkin ada unsur khianat

ALOR SETAR: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian sebuah kabin musnah di kawasan Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah yang dipercayai berlaku pada 16 Oktober lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 18 Oktober lalu jam 3.49 petang berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, hasil siasatan polis di tempat kejadian mendapati, terdapat kemusnahan yang teruk di sebuah kabin kontena kosong yang dijadikan stor di bahagian belakang dalam perkarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah itu.

"Berdasarkan hasil siasatan itu, ia membawa penemuan beberapa sampel dan bahan bukti dipercayai digunakan untuk menghasilkan letupan.

"Pihak polis mengesyaki kejadian itu mempunyai unsur khianat yang menggunakan bahan letupan.

"Kesemua sampel yang ditemui itu sudah dihantar ke makmal bagi tujuan analisa," katanya.

Wan Hassan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan menggunakan bahan letupan terhadap sebuah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tempoh 20 tahun atau denda.

Beliau berkata, pihak polis sedang melakukan siasatan secara terperinci untuk mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini.

"Namun pihak polis menyeru orang yang mengetahui kejadian ini supaya tampil memberi maklumat kepada Asisten Superintendan Che Intan Subri di talian 013-9329614 atau 04-7321222," katanya.

Sebelum ini kejadian papan tanda dan pagar disimbah cat merah dan biru turut dilaporkan berlaku di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah pada 17 Oktober lalu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo