NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Impian Iffah lanjut pengajian dapat perhatian, USIM tawar bantuan selesai masalah

Profesor Sharifudin Md Shaarani, berkata pihaknya telah menghubungi pelajar tersebut dan menawarkan bantuan bagi menyelesaikan isu dibangkitkan. - Gambar/ USIM

KUALA LUMPUR: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyelesaikan masalah dihadapi seorang bakal pelajar yang dilaporkan tidak berkemampuan menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda ke universiti itu disebabkan kesusahan hidup.
Naib Canselor USIM, Profesor Sharifudin Md Shaarani, berkata pihaknya telah menghubungi pelajar tersebut dan menawarkan bantuan bagi menyelesaikan isu dibangkitkan.
"Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) USIM telah menghubungi bakal pelajar berkenaan (Iffah Shahira Zulkifli, 19) dan tindakan sewajarnya telah diambil.
"Saudari Iffah akan mendaftar belajar di USIM pada sesi Kemasukan Akademik 2022/2023 pada 13 Oktober 2022 . Pihak USIM juga akan memberikan bantuan dan kemudahan sewajarnya kepada saudari Iffah.
"USIM sentiasa memberikan perhatian yang serius berkaitan kebajikan para pelajarnya. Justeru, USIM ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan orang ramai terhadap isu yang dibangkitkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Astro AWANI hari ini melaporkan cita-cita Iffah Shahira dari Kampung Kursal, Rantau Panjang, Kelantan, untuk menyambung pengajian di USIM mungkin terpaksa dilupakan apabila duit simpanannya belum mencukupi.
Pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Maahad Ahmadi Tanah Merah, itu merupakan anak sulung sebuah keluarga yang kurang berkemampuan.
Ibunya, Rohana Mohd Nor kini menjadi tunggak utama keluarga dalam mencari pendapatan dengan mengambil upah menjahit selepas bapa remaja itu tidak dapat bekerja disebabkan mengalami pelbagai kompikasi termasuk rabun akibat penyakit kencing manis.
Iffah Shahira memaklumkan, dia menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke USIM dalam bidang pengajian Sarjana Muda Pengajian Sunnah dan Pengurusan Maklumat, selepas mendapat kepujian dalam STAM yang lalu.
"Namun saya rasa hasrat itu terpaksa saya lupakan kerana duit tak cukup, walaupun saya bekerja di sebuah kedai peralatan pembinaan sebelum ini, namun simpanan tak mencukupi kerana daftar pengajian dan membeli peralatan dan sebagainya memerlukan wang yang mencukupi," katanya lagi.
Ketika ini keluarga Iffah mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM600 sebulan sejak bulan Jun 2022 yang lalu.
Kisah keluarga Iffah pernah disiarkan dalam Astro AWANI selepas terkesan akibat banjir luar jangka pada Mac lepas.
Mereka antara keluarga yang dilanda banjir buruk di Rantau Panjang, dengan segala peralatan persekolahan rosak kerana rumah dinaiki air.

Sumber | Astro Awani 






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo