SINGAPURA, 26 Oktober 2022 – Pelantikan Rishi Sunak sebagai Perdana Menteri Britain baru-baru ini telah mendapat perhatian dunia, di mana ia merupakan pertama kali Britain menyaksikan individu yang berketurunan India memegang tampuk tertinggi di negara tersebut.
Sebuah laporan mempersoalkan sama ada hal yang sama boleh berlaku di Singapura, sebuah negara dengan dominasi masyarakat berbangsa Cina. Setakat ini, kesemua perdana menteri Singapura berbangsa Cina.
Bukan itu sahaja, individu yang dijangka bakal menggantikan Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura kini, ialah Lawrence Wong – juga berbangsa Cina.
Namun, rata-rata perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial mula berjinak-jinak dengan kemungkinan negara tersebut diterajui oleh individu yang berasal dari etnik minoriti. Pandangan optimis ini turut didokong oleh pelantikan Halimah Yacob, seorang wanita berbangsa Melayu, sebagai Presiden Singapura.
Dalam membincangkan tentang kemungkinan Perdana Menteri Singapura lahir dari golongan minoriti di sana, ada juga pandangan yang menganggap pelantikan Rishi Sunak tidak patut menjadi kayu ukur yang tuntas. Hal ini kerana, Rishi Sunak hanya dipilih oleh ahli partinya, Parti Konservatif, dan bukannya melalui proses pilihan raya seperti biasa.
Pendapat ini turut menyatakan bahawa Rishi Sunak hanya ‘bernasib baik’ kerana pada awalnya, beliau tidak pun dipilih hatta oleh ahli partinya sendiri. Namun, kegagalam Liz Truss, Perdana Menteri Britain sebelum ini, dalam mengurus ekonomi Britain telah membuka jalan buat Rishi Sunak untuk menaiki tampuk kepimpinan Britain.
Tommy Koh, bekas duta Singapura, menyifatkan pelantikan Rishi Sunak sebagai sebuah “keajaiban”.
“Saya tidak rasa rakyat UK akan bersedia untuk melantik Perdana Menteri berbangsa India sebelum Singapura bersedia untuk berbuat demikian,” ujar beliau.
Bilahari Kausikan, seorang bekas pegawai atasan Singapura, turut menyuarakan pandangan yang serupa, di mana beliau mengingatkan rakyat Singapura untuk tidak “meromantisasikan” pelantikan Rishi Sunak kerana beliau hanya dipilih oleh sejumlah kecil dari ahli Parti Konservatif.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment