NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Calon PN guna lambang ‘bulan’ di 3 negeri PAS, kata Takiyuddin


KUALA LUMPUR
: Semua calon Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan lambang PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU15, kata Takiyuddin Hassan.

Setiausaha agung PAS berkata, perkara itu sudah mendapat “lampu hijau” dan kelulusan daripada PN.

“Setakat ini telah diterima dan dipersetujui. Kita lihat kenyataan daripada pengerusi PN (Muhyiddin Yassin) pun mengatakan bahawa beliau memahami rasional permintaan PAS itu.

“Bagi saya, saya fahamlah. Mungkin tiada masalah. Jadi maknanya setakat ini semua calon PN akan menggunakan logo PAS kalau itu yang dimuktamadkan,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Program Pendakian 121 Puncak Sempena Ulang Tahun Jabatan Perhutanan Semenanjung (JPSM) di Taman Eko Rimba.

Sebelum ini, PAS memutuskan untuk menggunakan lambang parti itu sendiri di tiga negeri ditadbirnya pada PRU15.

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata PAS terbuka mengenai penggunaan simbol lain bagi negeri selain tiga negeri pimpinannya, yang akan dibincangkan di peringkat PN.

“Terengganu, Kelantan dan Kedah memang PAS kuat, (jadi) kita pakai simbol ‘bulan’,” katanya.

Selain PAS, parti komponen lain dalam PN adalah Bersatu, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Takiyuddin berkata, semua calon daripada gabungan berkenaan tidak dibenarkan menggunakan logo berbeza di ketiga-tiga negeri ditadbir PAS itu.

“Dia tak boleh ada yang logo PAS, ada yang logo Bersatu, itu tak ada,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan logo PAS secara serentak dalam kalangan calon PN adalah strategi diputuskan di peringkat negeri sendiri.

“Itu tak ada masalah, kalau kita tengok masa PRN Johor, PKR pun guna logo sendiri walaupun ia parti komponen Pakatan Harapan. Itu bergantung kepada gabungan.

“Kalau gabungan itu membenarkan parti komponen mereka guna logo sendiri, malah ia boleh diteruskan,” katanya.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo