NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Calon PKR dirombak seperti main 'terup'; parti rugi, penyokong kecewa - Tian Chua


KUALA LUMPUR:
Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua menganggap pemilihan calon yang tidak mengambil kira sentimen penyokong akan merugikan parti yang bertanding.

Chua berkata, keupayaan untuk membina hubungan kukuh dengan kawasan pilihan raya merupakan kriteria untuk memilih calon.

Katanya, kualiti seperti yang beliau nyatakan itu semakin berkurangan di kalangan wakil rakyat hari ini.

“Apabila Ahli Parlimen dan kerusi dirombak seperti bermain 'terup', ia bukan sahaja merugikan akar umbi parti, malah mengecewakan pengundi yang setia menyokong kita.

"Ketika kita bergerak untuk menyerang pihak lawan, kita juga mesti berjaga-jaga agar tidak kehilangan kubu kita," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya selepas pengumuman calon PKR di Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Selangor, pada Jumaat.

Chua yang tidak disenaraikan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mendakwa ramai yang "kecewa" dengan pemilihan beberapa calon.

Beliau mengingatkan mereka yang akan bertanding pada PRU15 nanti bahawa menjadi Ahli Parlimen bukan kelas istimewa.

Sebaliknya beliau berkata setiap ahli parlimen adalah hamba rakyat dan perlu menganggap bahawa masyarakat adalah sebahagian dari kehidupan.

“Selepas pengumuman, ramai orang kecewa dengan sesetengah pemilihan calon.

"Saya ingin mengingatkan semua calon bahawa tanggungjawab mereka adalah untuk bersuara di kawasan mereka dan mewakili kepentingan pengundi. Jangan menganggap pengundi di kawasan itu sebagai tiket ke parlimen (atau kuasa).

"Ahli Parlimen bukan kelas istimewa, tetapi hamba rakyat. Sebagai ahli parlimen, kita hidup dalam kalangan pengundi dan masyarakat adalah sebahagian daripada kehidupan kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Chua berkata reaksi dan sentimen pengundi tidak sepatutnya diabaikan oleh PKR terutama pada musim pilihan raya.

"Memandangkan saya bukan lagi sebahagian kepimpinan parti pada masa ini, saya tidak tahu proses terperinci mengenai pemilihan calon. Sudah tentu, pemilihan ini tidak akan memuaskan hati semua orang. Ia boleh difahami," katanya.

“Bagaimanapun, saya rasa senarai calon sepatutnya lebih inklusif bagi menggambarkan kepelbagaian dalam parti,” katanya.

PKR juga menggugurkan lapan penyandang Ahli Parlimen daripada senarai calonnya di Semenanjung Malaysia dan menukarkan kerusi tiga lagi penyandang ke kawasan lain.

Lapan penyandang berkenaan ialah Natrah Ismail (Sekijang), June Leow (Hulu Selangor), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Tan Yee Kiew (Wangsa Maju), Lee Boon Chye (Gopeng), Chan Ming Kai ( Alor Setar) dan Datuk Johari Abdul (Sungai Petani).

Bagi kerusi Parlimen Batu yang dimenangi Chua pada 2008 dan 2013, PKR mengekalkan penyandangnya M.Prabakaran.

Pada PRU14, pencalonan Chua ditokak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ekoran sabitan satu kes mahkamah pada 2013.

Bagi PRU15 yang bakal diadakan pada 19 Nov nanti, Chua kembali mengintai kerusi Parlimen Batu, namun hasratnya dinafikan PKR.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo