NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bohong, hanya 4 keluar parti, bukan 1,000, kata Bersatu Padang Terap


KUALA NERANG:
Hanya empat ahli berdaftar Bersatu bahagian Padang Terap yang keluar parti bukannya 1,000 orang, kata Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Padang Terap, Mohd Zharif Mohd Zohdi.

Zharif berkata, semakan daripada rekod mendapati hanya empat ahli yang keluar parti itu mengikut bekas ketua bahagian Padang Terap, Syed Sobri Syed Hashim yang mengumumkan keluar parti hari ini.

Katanya, tindakan Syed Sobri meninggalkan parti itu sudah dijangka dan ia adalah bersifat peribadi serta tidak membabitkan kebanyakan ahli Bersatu lain.

“Semakan rekod yang dilakukan mendapati hanya empat orang saja, yang benar-benar menjadi ahli parti bersama Syed Sobri.

“Keputusan yang dibuat itu juga sudah dijangka berdasarkan tindakannya yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding parti,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Menurutnya, Syed Sobri sebenarnya sudah meletak jawatan ketua bahagian Bersatu Padang Terap pada 15 Oktober lalu dan pihaknya sudah mengadakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Bahagian dan semua 21 AJK kekal bersama Bersatu hingga kini.

“Jika beliau tak puas hati, sepatutnya suarakan melalui perbincangan dan perjumpaan bulanan. Jadi, alasan hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan adalah sesuatu yang janggal.

“Kita faham waktu ini adalah ruang berharga bagi orang politik yang ada agenda peribadi kerana ini masa yang terbaik untuk dijanjikan sesuatu, mungkin beliau ada dijanjikan sesuatu,” katanya.

Terdahulu, Syed Sobri, yang juga bekas ADUN Kuala Nerang mengumumkan keluar parti bersama lebih 1,000 ahli Bersatu Padang Terap. Beliau adalah ahli Umno sebelum menyertai Bersatu.

Meskipun tidak mengumumkan menyertai mana-mana parti, Syed Sobri bersama pengikutnya memaklumkan akan menyokong calon Barisan Nasional di Parlimen Padang Terap pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo