NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Berasap sampai rosak


Kuala Lumpur:
"Paru-paru saya terpaksa ditebuk bagi menyelamatkan nyawa kesan menghisap vape. Saya harap apa dialami ini menjadi pengajaran kepada pengguna vape lain terutama remaja," ujar pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Shah, 23.

Penderitaan dialaminya dikongsi menerusi video dimuat naik dilaman sosial Facebook milik usahawan kosmetik, Liana Rosli kelmarin.

Menerusi video itu, Shah terpaksa membuat pembedahan paru-paru di sebuah hospital swasta bagi menyelamatkan nyawanya.

Shah berkata, dia mula 'berjinak-jinak' menggunakan vape sejak tiga tahun lalu.

"Bagaimanapun saya menukar penggunaan daripada vape kepada disposable pod (pod pakai buang) apabila dia mula bekerja awal Mei tahun ini.

"Saya hisap disposable pod yang mampu memberikan 5,000 sedutan asap. Dalam tempoh lima hari sahaja, saya mampu menghabiskannya.

"Namun kesannya dialami awal Oktober lalu apabila saya mulai jatuh sakit mendadak. Saya mengalami demam hampir 10 hari dan sukar bernafas dengan sempurna," katanya.

Menurutnya, melalui pemeriksaan doktor, lebih dua pertiga paru-parunya di bahagian kanan dipenuhi cecair.

"Akibatnya saya terpaksa ditahan di wad hospital dan menjalani pembedahan bagi menebuk bahagian paru-paru berkenaan.

"Syukur saya masih sempat diselamatkan. Doktor yang merawat menasihati supaya saya berhenti menghisap vape demi kesihatan," katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, semalam.

Shah turut menasihati pengguna vape lain supaya meninggalkan tabiat itu yang boleh mengancam nyawa.

Perkara sama turut pernah dialami penyanyi terkena Aiman Tino, 24, yang dimasukkan ke pusat perubatan di Kuala Lumpur selepas mengalami batuk teruk dan jangkitan pada paru-paru pada 17 Oktober lalu.

Ia didakwa ada kaitan dengan penggunaan rokok elektronik atau vape selain tabiatnya berkongsi vape bersama rakan-rakan.

Dia bagaimanapun bersyukur paru-parunya tidak perlu ditebuk dan hanya menjalani rawatan antibiotik di hospital selama tiga hari.

Aiman turut menasihati orang ramai menghentikan perbuatan menghisap vape yang boleh memudaratkan kesihatan.

Sebelum itu, turut tular seorang pengguna Tiktok berkongsi video suaminya mengalami paru-paru bocor akibat penggunaan vape berlebihan.

Menerusi video yang dimuat naik wanita berkenaan, dada suaminya terpaksa ditebuk pada bahagian rusuk untuk mengeluarkan asap berlebihan dalam paru-paru.

Katanya lagi, penggunaan vape sangat berbahaya bagi penghidap asma kerana ia melemahkan sistem paru-paru.

RM50,000 diperlukan untuk rawat seorang pesakit Evali

Kos rawatan kecederaan paru-paru E-cigarette Or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (Evali) dianggarkan menelan belanja sekitar RM50,297.37 bagi seorang pesakit yang dimasukkan ke hospital selama empat hari.

Presiden Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH) Prof Mohamad Haniki Nik Mohamed berkata, lebih menakutkan apabila pengguna rokok elektronik atau vape berisiko mengalami kecacatan kekal pernafasan dan kematian.

Terbaru menurutnya, tular di media sosial rakaman video seorang pesakit yang ditebuk bahagian dada untuk mengeluarkan cecair akibat penyakit paru-paru berkaitan menghisap vape.

"Di negara kita dua kes direkodkan pada 2019, manakala lapan kes pada 2021 selepas ia dikenal pasti melalui kajian Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

AIMAN TINO ketika dimasukkan ke hospital  akibat batuk teruk dan gejala pada paru-paru.
AIMAN TINO ketika dimasukkan ke hospital akibat batuk teruk dan gejala pada paru-paru.

"Jumlah sebenar kes Evali dijangka terus meningkat apabila lebih ramai pengamal perubatan cakna akan kaedah diagnosis dan rawatannya menggunakan garis panduan amalan klinikal Evali yang baharu sahaja dilancarkan," katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro.

Beliau yang juga pensyarah di Jabatan Amalan Farmasi, Kuliyyah Farmasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan terdapat kira-kira 1.1 juta pengguna rokok elektronik atau vape di Malaysia.

"Justeru, penyakit Evali dalam kalangan pesakit yang menghisap rokok elektronik perlu dipantau dengan lebih rapi.

"Walaupun majoriti kes Evali sebelum ini didapati berkaitan dengan penggunaan cecair rokok elektronik mengandungi produk ganja (THC) dan vitamin E asetat, kemungkinan mendapat Evali masih ada biarpun tanpa kehadiran kedua-dua bahan itu.

"Kajian Tehrahi (2021) mendapat lebih 2,000 bahan kimia didapati dalam aerosol atau wap rokok elektronik, termasuk bahan penyebab kanser. Namun kesan terhadap sistem pernafasan lebih cepat berlaku dengan kesukaran bernafas sebagai gejala utama," katanya.

Jelasnya, rokok elektronik tetap berbahaya terutamanya terhadap sistem pernafasan.

"Kita masih bergelut dengan pelbagai penyakit berkaitan rokok dan kini ditambah pula dengan masalah kesihatan akibat menghisap rokok elektronik.

"Seharusnya produk ini diharamkan sejak dahulu lagi seperti mana di negara jiran kita iaitu Singapura dan Thailand. Malangnya, sifat tamak haloba segelintir ahli politik menyebabkan tiada kawalan efektif terhadap rokok elektronik sehingga ke hari ini di Malaysia," katanya.

Berdasarkan maklumat pada 4 Julai 2021, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dari Johor mengalami gejala seperti anafilaksis iaitu sesak nafas, ruam di seluruh badan dan demam selepas empat jam menggunakan perisa vape.

Malah, satu kes dikesan pada 4 Oktober 2021 membabitkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di Perak mengalami sawan selepas menggunakan vape diperoleh dari rakannya.

Sementara itu, Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr Murallitharan Munisamy berkata, Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendapati masalah merokok rokok elektronik dilihat semakin membimbangkan tatkala kajian menunjukkan 27,000 kematian berlaku setahun di Malaysia akibat merokok.

Beliau berkata, MCTC bersama 38 badan gabungan di bawahnya, Majlis Belia Malaysia bersama 41 badan gabungan di bawahnya dan 128 NGO lain memandang serius isu merokok yang semakin berleluasa.

"Masalah merokok di Malaysia bukan sahaja terbeban dengan masalah merokok tembakau malahan semakin menular kepada merokok alaf baharu yang dikatakan lebih selamat iaitu rokok elektronik atau vape.

"Majlis Kawalan Tembakau Malaysia merasa sangat terkilan susulan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dibuat bacaan pertama pada 27 Julai 2022 dan bacaan kedua pada 2 Ogos 2022 sebelum dimuktamadkan pindaan dalam Jawatankuasa Khas Parlimen pada 4 Oktober 2022 tidak dapat diteruskan susulan pembubaran Parlimen," katanya.

Menurutnya, Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentangkan itu adalah Rang Undang-Undang terbaik yang digubal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak Jabatan Peguam Negara dalam sejarah kawalan tembakau sejak Malaysia menganggotai WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) pada 2005.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo