NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anjur skim piramid, 7 ditahan, sita kenderaan mewah dan wang hampir RM1 juta

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam

KUALA LUMPUR: Tujuh individu termasuk seorang warga Taiwan disyaki terbabit aktiviti skim piramid, ditahan menerusi serbuan operasi bersepadu 'Op Reward' di sebuah pusat perdagangan di Jelutong, Pulau Pinang, Rabu lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam, berkata dalam operasi itu pasukan serbuan turut menyerbu empat premis kediaman yang didiami suspek di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, syarikat terbabit menjalankan dan mempromosi skim itu kepada orang awam menerusi aplikasi secara dalam talian serta penjualan pakej tertentu sejak beberapa tahun lalu.

"Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menyita pelbagai dokumen, komputer riba dan telefon bimbit yang berkaitan, bagi membantu siasatan ini.

"Selain itu, sembilan kenderaan mewah dan pelbagai beg tangan berjenama milik suspek turut disita, selain 38 akaun di tujuh bank dibekukan serta wang tunai keseluruhan berjumlah RM967,720.29 disita," katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi itu dijalankan Pasukan Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP dan disertai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Bank Negara (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Cyber Security Malaysia.

Azman berkata, syarikat terbabit disyaki aktif melakukan aktiviti itu di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Sarawak, selain dikesan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan lain.

Kes disiasat mengikut Subseksyen 4 (1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP 1993) iaitu menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen dan Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP 1993) iaitu mempromosikan atau menjalankan skim piramid.

Semua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, kerana disyaki melakukan aktiviti pengubahan wang haram. – BERNAMA



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo